in

Piagam Madinah Suatu Huraian

Piagam Madinah oleh Prof Madya Dr Engku Ibrahim Ismail dan Afharahman

Serentak dengan perjanjian ‘Aqabah dibuat, Rasulullah s.a.w. telah melantik 12 orang Islam bagi mewakili baginda dalam urusannya dengan 12 kabilah Arab di Madinah, dimana tiap-tiap kabilah dilantik seorang wakilnya yang dipanggil ‘naqib’. Ini adalah untuk mewujudkan suatu pusat dengan tidak menafikan kuasa kabilah-kabilah sendiri dalam menyelesaikan masalah-masalahnya di bawah thaqifahnya sendiri. Oleh itu dalam masa kira-kira tiga tahun sahaja ramai orang-orang Arab menganut Islam melalui pendakwah-pendakwah Islam yang cekap dan terlatih. Walau bagaimanapun, Agama Islam masih lagi diperingkat dalam negeri sahaja dan belum mendapat status politik. Di dalam sebuah keluarga didapati penganut-penganut dari berbagai agama. Dalam keadaan inilah, maka mengapa Rasulullah s.a.w. meninggalkan Kota Mekah untuk pergi ke Kota Madinah dengan masalah-masalah yang perlu diatasi segera oleh baginda, iaitu antara lainnya:

  1. Tafsiran hak-hak dan tanggungjawab Rasulullah s.a.w. sendiri dan penduduk-penduduk setempat.
  2. Persiapan untuk membaiki keadaan hidup orang-orang Muhajirin yang masih berada di Mekkah.
  3. Penyusunan semula organisasi politik dan pertahanan bagi kota Yathrib (Madinah), dan
  4. Gantirugi kehilangan jiwa dan harta yang dialami oleh kaum Muhajirin di tangan Quraisy.

Implikasi dari inilah, selepas beberapa bulan sahaja dari Rasulullah s.a.w. dan orang-orang Muhajirin tiba di Madinah, maka baginda telah mengadakan suatu ‘perjanjian’ atau ‘piagam bertulis’ yang disebut sebagai “Kitab min Muhammad“, sedangkan di waktu ini ayat-ayat al-Quran juga telah ditulis, manakala hadith-hadith masih dilarang menulisnya melainkan bagi penulis tertentu sahaja.

Perkataan “Kitab” yang disebut dalam dokumen plagam ini adalah dimaksudkan kepada suatu undang-undang yang dilaksanakan, “a code of action” atau suatu carta tugas tugas “a chart of duties” yang pada hakikatnya ia adalah suatu “Deklarasi Kota Madinah” sebagai sebuah “Negara Kota” (City State) buat pertama kalinya, dan dijadikan nya sebagai undang-undang dalam pentadbirannya.

Thomas Hobbes, Jean-Jacques Rousseaudan ahli-ahli sains politik yang lain menganggapnya sebagai perjanjian sosial yang dibuat antara raja-raja dengan rakyat ke arah mewujudkan sebuah negara. Ini terbukti sebagaimana yang telah dilakukan dalam perjanjian ‘Aqabah yang menjadikan orang-orang Madinah menerima Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin mereka dengan menjemput baginda berpindah ke Madinah dan mereka bersetuju pula untuk mengikut apa sahaja perintah baginda. Sebab itu, dari satu segi. “Sahifah Madinah bukan merupakan suatu ‘Aqd (Contract), tetapi ia hanya suatu preskripsi dan proklamasi, di mana setiap orang mengetahui bahawa perkataan Kitab itu bermaksud sesuatu yang telah ditentukan, iaitu yang merupakan suatu perintah. Contohnya, di dalam ayat-ayat al-Quran ayat-ayat yang mengandungi perkataan “Kitab” sebagaimana dalam firman Allah yang bermaksud seperti berikut:

Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya

An-Nisa:103

Dan,

Tidak sepatutnya (mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari akhirat)! Sesungguhnya “kitab suratan amal” orang-orang yang berdosa itu (didaftarkan) dalam ‘Sijjiin’

Al-Mutaffifin:7

Dan,

Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya “kitab suratan amal” orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam” Illiyiin.

Al-Mutaffifin:18

Dan,

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci;

Al-Baqarah:216

Di dalam ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa perkataan Kitab yang digunakan dalam al-Quran dengan maksud pengertian demikian. Perkataan Jerman ‘Vorschrift’, Perancis dan Inggeris ‘Prescription’, Itali ‘Prescrizione’ dan Sepanyol ‘Prescripcion’ bahkan dalam Rusia ‘Predpisanie’ juga bererti perintah atau ‘undang-undang’ yang mempunyai makna ‘menulis/writing’.

Sebagai seorang yang cintakan undang-undang dan perpaduan, maka Rasulullah s.a.w. telah berusaha memperbaiki segala keadaan yang lazim (centrifugal) di Semenanjung Tanah Arab amnya dan di Madinah khasnya dengan slogan, “satu pemerintah (pemerintahan) dan satu undang-undang” (one ruler and one law). Perintah perintah yang mengarah ke pusat (centripetal commands) melalui zakat dan haji yang kemudian telah memberi peluang kepada pihak pemerintah menjadikan rakyatnya di bawah suatu kawalan melalui kuasa yang diberikan kepada kerajaan pusat untuk menguatkuasakan undang-undang cukai kepada semua rakyat; manakala melalui ibadat haji dan sembahyang yang mengarahkan orang-orang Islam supaya menuju ke satu tempat sahaja di samping institusi-institusi yang lain mengarahkan agar setiap orang mempercayai Allah S.W.T. Yang Maha Esa dan taatkan kepada Rasul-Nya, maka semuanya ini mempunyai pengertian yang tertentu di dalam menyatupadukan ummah untuk tunduk kepada satu kuasa sahaja, iaitu Allah S.W.T. dan wakil-Nya (khalifah) yang menjalankan pemerintah-Nya di dunia.

Kini perlembagaan negara kota yang baru ini telah membawa bersamanya suatu perkara yang amat penting setidak-tidaknya terhadap umat Arab di Semenanjung Tanah Arab, suatu perubahan besar yang menggalakkan, iaitu dengan menyediakan kepada mereka suatu institusi pusat untuk rakyat mendapatkan keadilan yang tidak pun pernah mereka dapati sebelumnya. Dan perubahan besar ini telah pun dicatat satu persatunya dan dengannya juga dapat menyelesaikan masalah ummah dapat menghapuskan ke. kacauan di antara kabilah-kabilah Arab yang sering bersengketa sekian lama, selain menyediakan asas kepada suatu institusi yang lebih luas, iaitu negara.

Di dalam dokumen ini Rasulullah s.a.w. diberi kuasa yang tertinggi sekali dalam bidang-bidang kehakiman, penggubalan undang-undang dan pelaksanaannya tetapi suatu perkara yang amat penting dan perbezaannya yang ketara sekali di antara kuasa ini dengan kuasa-kuasa autokratik atau kerajaan beraja ialah bahawa materialism tiada sama sekali peranannya di sini. Baginda s.a.w. telah memperkenalkan unsur-unsur moral di dalam politik. Baginda s.a.w. menjadikan Allah S.W.T. sumber kuasa dan menganggap baginda sendiri sebagai rasul dan wakil pemerintahan Allah S.W.T. di dunia (khalifatullah fi’l-ardh) dan melalui objektif inilah baginda mengisytiharkan perintah-perintah dan undang-undang bertulis supaya dilaksanakan oleh orang ramai sebagaimana baginda sendiri mengamalkannya. Kes-kes jenayah dan kesalahan-kesalahan yang dihadapkan kepada baginda sejak hayat baginda telah diadili dengan saksama. Oleh itu jelaslah pada kita bahawa Islam memang menolak teori, “raja diluar undang-undang” ata the ruler is above the law. Lantaran apabila orang yang paling berkuasa dalam sesebuah negara itu tidak dapat mematuhi atau menghormati undang-undang yang berkuatkuasa di dalamnya, pegawai-pegawai malah rakyat jelata juga yang menyaksikannya dengan lebih berwaspada itu akan tidak teragak-agak lagi untuk melakukan kesalahan.

Dalam Piagam Madinah ini, secara kasarnya terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama yang mengandungi 23 fasal, menyentuh tentang perhubungan antara orang-orang Muhajirin dan Ansar, manakala 24 fasal lagi adalah peruntukan-peruntukan yang berkait dengan hak-hak dan kewajipan-kewajipan orang-orang Yahudi. Kesemuanya ialah 47 fasal, tetapi menurut Hamidullah jumlahnya ialah 52 fasal. di mana bahagian pertama mengandungi 25 fasal dan bahagian kedua pula mengandungi 27 fasal.

Ahli-ahli sejarah pada umumnya berpendapat bahawa piagam ini (kedua-dua bahagiannya) telah ditulis pada permulaan tahun pertama Hijrah, melainkan Hamidullah menyatakan bahawa bahagian pertama piagam ini mungkin ditulis dalam tahun Pertama Hijrah, manakala yang bakinya telah ditambah dalam tahun kedua Hijrah, iaitu selepas perang Badr. Pendapat ini disokong oleh suatu kenyataan dalam kamus lisan al-Arab berhubung dengan Sahifah Madinah ini dinyatakan dua nama, iaitu “Kitabuhu li al-Muhajirin wa al-Ansar” (Piagam Bertulis atau Peraturan bagi orang-orang Muhajirin dan Ansar) dan “Kitab Rasulullah salla Allah ‘alayhhi wasallam li al-Yahud” (Peraturan Rasulullah salla Allah ‘alayh wa sallam untuk orang-orang Yahudi).

Perlembagaan Madinah menyentuh berbagai persoalan ummah di dalam sesebuah negara atau kerajaan pada umumnya dan persoalan penduduk atau warganegara Madinah khususnya seperti hak-hak dan kewajipan-kewajipan pemerintah dan rakyat, perundangan, pentadbiran keadilan, susunan pertahanan, kedudukan Ketua Negara, layanan terhadap orang-orang bukan Islam, jaminan kemasyarakatan dan juga pengertian “Ummah“. Prinsip-prinsip umum yang terkandung di dalam piagam ini adalah setanding dengan perlembagaan negara-negara moden. Prinsip atau dasar yang terpenting sekali ialah pembentukan “ummah” dengan pengertiannya dan tafsiran-tafsiran hak-hak dan kewajipan-kewajipan berbagai golongan yang membentuk ummah itu. Dalam fasal 25 diperuntukkan:

“Orang-orang Yahudi Bani ‘Awf merupakan Ummah bersama-sama orang-orang mukmin”.

Lantas Zafir El-Qasimy berpendapat bahawa Islam menganggap Ahl al-Kitab atau orang-orang Yahudi merupakan warganegara dan Ummah bersama orang-orang Islam, selama mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab yang dikenakan ke atas mereka, sedangkan menurut piagam ini perbezaan agama tidaklah dijadikan alasan bagi penolakan kewarganegaraan seseorang yang menyertai piagam.

Sebelum kedatangan Islam, kota Madinah tidak pernah mengenal sebarang bentuk negara. Rasulullah s.a.w. merupakan orang yang mula-mula sekali memberi bentuk negara pertama, bahkan lebih dari itu lagi Bagindalah yang telah merangka sebuah perlembagaan bertulis negara pertama itu. Berbagai-bagai suku bangsa tinggal di Madinah semuanya tercatat dalam piagam ini (lihat Fasal 4-11 dan Fasal 25-33). Setibanya Rasulullah s.a.w. di Madinah suku-suku bangsa ini sudah mempunyai cara hidup masing-masing. Dalam perlembagaan yang bersifat “persekutuan” ini, Rasulullah s.a.w. bukan sahaja menjadi pemimpin kepada orang-orang Islam, tetapi juga kepada orang-orang Yahudi dan orang-orang yang masih belum menganut agama Islam.

Perlembagaan Madinah telah membawakan suatu perubahan besar dengan memperuntukan sebuah institusi kerajaan pusat untuk menjamin keadilan dan keamanan tanpa menghilangkan kuasa dan keistimewaan golongan-golongan tertentu. Kota Madinah telah dibahagikan kepada beberapa jajahan mengikut suku-suku kaum yang berbeza. Dalam tiap-tiap jajahan terdapat ketua yang dipanggil naqib dengan beberapa orang timbalan ketua yang bergelar arif dan sebuah tempat perjumpaan yang dinamakan saqifah. Majlis bagi tiap-tiap jajahan ini lengkap dan mempunyai kuasa penuh untuk membentuk unit-unit bagi sebuah kerajaan persekutuan. Sebuah bandar kecil yang terdiri daripada dua puluh jajahan di dalamnya, telah disusun ke dalam sebuah Negara Kota, dan rakyat yang jumlahnya kecil tetapi berlainan dan telah bersatu di bawah perlembagaan pusat yang bersifat anjal dan yang boleh dilaksanakan. Sementara itu naqib-naqib yang dilantik itu merupakan wakil-wakil kepada seluruh suku kaum yang bertanggungjawab terhadap keamanan dan ketenteraman awam. Sekiranya seorang naqib itu gagal menyelesaikan sesuatu pertikaian dalam kumpulannya, atau andainya pihak-pihak yang terlibat dalam mana-mana perselisihan atau perselisihan terdiri daripada suku-suku kaum yang berlainan maka perkara yang menjadi pertelingkahan itu dirujukan kepada Rasulullah s.a.w. untuk penyelesaian nya yang muktamad.

Suku-suku Yahudi telah disebutkan satu persatu dalam Piagam Madinah ini (Fasal 25-33). Sebutan ini adalah sebagai beberapa kumpulan yang berbeza yang tinggal sebagai penyokong kepada suku-suku kaum Arab Madinah yang berlainan dan hak mereka untuk mendapat layanan yang sama disebut dengan jelas. Ini bertujuan untuk menekankan bahawa orang-orang Yahudi tidak menyertai negara Madinah sebagai satu unit masyarakat tetapi sebagai unit-unit yang berasingan. Lantaran ini bila orang-orang Islam berperang menentang setengah suku kaum Yahudi atau memerintah mereka keluar dari kota Madinah, maka bukan sahaja suku-suku kaum yang lain berdiam diri, bahkan dalam peristiwa tertentu mereka memberi bantuan ketenteraan pula kepada orang-orang Islam yang berperang.

Dalam masalah keamanan dan peperangan adalah dalam bidang kuasa kerajaan pusat sendiri. Rasulullah s.a.w. adalah sebagai ketua turus angkatan tentera dan setiap orang bertanggungjawab dan bersepakat dalam hal perang dan damai ini, di mana tidak dibenarkan segolongan orang-orang yang beriman membuat perjanjian tanpa diikut serta oleh segolongan lain di dalam sesuatu perang dijalan Allah, iaitu atas dasar persamaan dan keadilan di antara mereka (Fasal 17). Setiap peperangan atau ancaman terhadap Madinah dianggap sebagai ancaman terhadap semua orang yang memerlukan kerjasama dari segenap pihak untuk mempertahankan kota Madinah. Setiap pihak dikehendaki menyertai dan saling membantu dalam sesuatu peperangan (Fasal 18). Walau bagaimanapun, setiap tindakan yang akan diambil dikehendaki terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada Rasulullah s.a.w. (Fasal 36, ayat 1).

Orang-orang Yahudi bukan sahaja menerima Rasulullah s.a.w. sebagai ketua negara, tetapi juga bersetuju menjadikan Kota Madinah sebagai kawasan suci yang tidak boleh dilanggar kehormatannya.

Persetujuan ini mengisytiharkan kota Madinah sebagai kawasan aman dan bebas dari segala ancaman. Sungguhpun masalah keamanan dam peperangan terletak di bawah kuasa pusat, tetapi setiap orang diberi hak untuk melindungi seseorang atau menjanjikan perlindungan kepadanya dan janji perlindungan ini hendaklah dihormati pula oleh semua ummah. Perlindungan ini boleh diberikan dengan syarat orang yang akan dilindungi itu bukan musuh negara dan bukan orang yang bersalah. Memberi perlindungan kepada jiran merupakan sebahagian dari adat yang dihargai oleh bangsa Arab sejak dahulu lagi, tetapi oleh kerana masyarakat Islam Madinah berada dalam suasana peperangan, maka Rasulullah s.a.w. telah membatalkan adat tersebut dengan memasukkan satu fasal dalam piagam ini, iaitu:

Bahawasanya tidaklah boleh diberi perlindungan kepada Quraisy (musuh), begitu juga tidak boleh diberi perlindungan kepada orang-orang yang membantunya

Piagam Madinah Fasal 43

Kerajaan pusat tidak campur tangan dalam hal sosial dan dalaman sesuatu kaum. Ketua-ketua suku diberi beberapa kuasa dalam negeri. Undang-undang dan peraturan, misalnya, adalah terletak di bawah pengadilan kumpulan keluarga di mana setiap kumpulan bertanggungjawab membayar sebagaimana sebelumnya, lantaran perbuatan salah atau kecuaian tugas ahli-ahlinya dan membayar tebusan terhadap keluarga lelaki yang dipenjarakan. Piagam juga menyebutkan berbagai-bagai suku yang menyertai piagam namun ahli-ahlinya masih mempunyai hak asal mereka, tangung-menanggung wang tebusan darah di antara mereka dan setiap keluarga (ta’ifah) daripada mereka membayar bersama akan wang tebusan dengan baik (ma’ruf) dan adil (al-qist) di antara orang-orang yang beriman (Fasal 3-10). Terdapat dua perubahan yang dibawa oleh piagam ini. Pertama, tiap-tiap kaum dikehendaki mengeluarkan ahli-ahlinya yang melakukan kesalahan terhadap ahli kumpulan untuk dilaksanakan hukuman ke atasnya. Fasal 22, ayat 1 memperuntukkan bahawa “Tidak dibenarkan bagi setiap orang mengakui perlembagaan ini dan percaya kepada Allah dan Hari Akhirat membantu orang salah dan memberi tempat perlindungan kepadanya”. Manakala Fasal 47, ayat 3 menyatakan:

Sesungguhnya piagam ini tidaklah boleh digunakan untuk melindungi orang-orang salah”

Ini bererti bahawa mereka dikehendaki melaksanakan hukum Allah dan menerima hukum yang diputuskan oleh Allah S.W.T. dalam satu-satu masalah sebagaimana yang ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud seperti berikut:

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka.

Al-Ahzab:36

Dan,

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.

An-Nisa:65

Dalam muqaddimah piagam dan dalam fasal yang akhir (Fasal 47) menyebutkan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Pesuruh Allah dan fasal yang lain terdapat pula peruntukan yang menegaskan bahawa segala perselisihan pendapat atau pertikaian kaum mestilah diselesaikan melalui hukum Allah dan budi bicara Rasulullah (Fasal 23 dan 42). Sungguhpun kedua-dua fasal yang terakhir ini pada lahirnya kelihatan semacam sama dan berulang-ulang, tetapi dari segi maknanya berbeza kerana fasal 23 lebih menekankan perselisihan pendapat dalam perkara pentafsiran perlembagaan dan pelaksanaannya, manakala fasal 42 pula menyentuh soal pertengkaran yang mengenai harta dan jiwa, iaitu yang melibatkan kes sivil dan jenayah. Oleh itu, kedua-dua fasal ini bukan suatu peruntukan berulangan yang tidak mempunyai apa-apa maknanya.

Sementara dalam perkara perselisihan yang tidak membawa kerosakan harta atau jiwa iaitu pada kesalahan-kesalahan kecil sahaja, maka ianya diselesaikan di kalangan suku-suku kaum sendiri mengikut adat atau kelaziman yang berlaku.

Penyebutan nama Nabi Muhammad s.a.w. dalam muqaddimah piagam dan pengakuan yang diberikan tehadap Rasulullah s.a.w. sebagai penyelesai dan pakar rujuk segala pertikaian yang berlaku dikalangan suku-suku kaum di Madinah jelas menunjukkan bahawa kedudukan baginda sebagai pemimpin negara adalah diakui dan dipersetujui oleh semua golongan. Manakala dalam peruntukan lain yang berbunyi:

“Sesungguhnya tiada seorang pun yang menyertai piagam ini menarik diri keluar dari pakatan mereka melainkan dengan persetujuan dari Muhammad”

Piagam Madinah Fasal 36, ayat 1

..sebenarnya menjelaskan lagi kedudukan Rasulullah s.a.w. sebagai seorang yang mempunyai kuasa tertinggi sekali dalam negara Madinah.

Dalam bidang kehakiman, Rasulullah s.a.w. merupakan penyelesai segala perselisihan dan pertelingkahan yang timbul di kalangan rakyat. Dalam fasal 23 dan 42 jelas menyatakan demikian, iaitu yang berteraskan kepada firman Allah yang bermaksud:

Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): “Apa jua perkara ugama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan)”

Ash-Shuraa:10

Menurut Hassan Ibrahim Hassan beberapa sumber undang-undang Islam menjadi jelas dari perkataan yang terdapat dalam perjanjian tanggungjawab bersama yang dirangka oleh Rasulullah s.a.w. Perjanjian inilah yang mengikat orang-orang Islam di satu pihak dengan orang-orang Yahudi di pihak yang lain dan menjamin keselamatan dan kebebasan beragama kepada orang-orang Yahudi.

Rasulullah s.a.w. sendiri menjalankan tugas kehakiman bagi kota Madinah. Tetapi bila kawasan negara Islam bertambah luas, maka amil-amil dilantik dengan beberapa tugas yang meliputi tugas gabenor, pegawai tentera, pemungut hasil, hakim dan ketua polis. Bahkan di Madinah sendiri, bila kerja bertambah maka beberapa hakim kecil juga dilantik bagi memenuhi keperluan yang mendesak. Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang itu tidak berpuas hati dengan keputusan-keputusan mereka, maka sebagai langkah terakhir, ia bolehlah membuat rayuan kepada Rasulullah s.a.w. Dan baginda juga menerima rayuan dari jajahan-jajahan. Undang-undang adalah meliputi kepada orang-orang kaya dan miskin tanpa pengecualian.

Perlembagaan Madinah memperuntukkan bahawa setiap orang tidaklah boleh dihukum kerana kesalahan yang dilakukan oleh sahabat atau oleh sekutunya (Fasal 37, ayat 4) dan perlindungan tidak boleh diberikan terhadap orang zalim dan bersalah (Fasal 47, ayat 1). Kedua-dua peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa konsep keadilan dan kedaulatan untuk undang-undang memang diberikan jaminan yang sepenuhnya. Seseorang itu dihukum lantaran kesalahannya dan hukuman dijalankan ke atas pesalah tanpa mengira kedudukannya. Sesiapa yang melakukan kejahatan maka balasannya akan diterima oleh dirinya dan keluarganya kecuali ianya dizalimi (Fasal 36, ayat 3) dan mencari langkah untuk membela diri. Setiap orang yang menjunjung piagam ini percaya kepada Allah dan Hari Kiamat tidaklah dibenarkan membantu orang-orang yang salah dan memberikan perlindungan kepada mereka (Fasal 22, ayat 1). Sesiapa yang didapati memberi perlindungan kepada pesalah akan menerima kutukan dan kemurkaan Allah di Hari Kiamat dan tidak akan diterima daripadanya segala dan ganti rugi (Fasal 22, ayat 2) untuk melepaskan dirinya daripada hukuman. Mereka yang telah disabitkan dengan kesalahan membunuh akan dikenakan hukuman qisas melainkan yang dimaafkan oleh keluarga mangsa yang terbunuh dan setiap orang dikehendaki mengutuk segala perbuatan jenayah, meskipun terhadap anak sendiri (Fasal 21 dan 13). Ini adalah sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:

Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya;

Al-Maidah:45

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Al-Maidah:2

Piagam Madinah yang merupakan piagam bertulis yang pertama ini mengandungi peruntukan-peruntukan mengenai hak-hak dan kewajipan-kewajipan rakyat yang mesti dilaksanakan. Fasal 3 menyatakan hak dan tanggungjawab kaum Muhajirin, iaitu saling tanggung-menanggung membayar dan menerima wang tebusan darah di antara mereka dengan cara yang baik dan adil di antara orang-orang yang beriman. Demikian juga dengan suku kaum dari Yathrib seperti Banu ‘Awf, Banu Sa’idah, Banu al-Harith, Banu Jusham, Banu an-Najjar, Banu ‘Amr bin ‘Awf, Banu Nabit dan Banu ‘Aws (Fasal 3-10). Hak-hak mereka juga dijamin sepenuhnya. Jaminan demikian juga diberikan kepada orang-orang Yahudi di kalangan mereka yang berketurunan sama dan suku bangsa Tha’labah, Jafnah dan Shutaibah termasuklah pengikut-pengikut atau sekutu Tha’labah (Fasal 34) dan semua pegawai-pegawai dan pembela atau ahli (bitanah) kaum Yahudi di mana mereka diberi layanan yang sama seperti kaum Yahudi (Fasal 35).

Pada fasal 1 disebutkan bahawa orang-orang mukminin dan muslimin dari kaum Muhajirin dan Ansar adalah menjadi ummah yang berbeza dari manusia-manusia yang lain, dan inilah yang ditegaskan oleh Allah S.W.T. dalam firman-Nya bermaksud seperti berikut:

Sesungguhnya ugama Islam inilah ugama kamu, ugama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.

Al-Anbiya:92

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.

al-Baqarah:143

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

al-Anfal:72

Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar. Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia. Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

al-Anfal:73-75

Kaum Yahudi dianggap sebagai satu ummah yang hidup bersatu dengan warganegara yang beriman, iaitu mereka hidup bersama dan saling bantu-membantu dalam perjanjian hidup bersama di bawah pimpinan Ketua Negara Islam. Mereka bebas menganut dan mengamalkan ajaran agama mereka. Kebebasan ini bukan sahaja diberikan kepada kaum Yahudi, tetapi juga kepada pengikut-pengikut dan sekutu-sekutu mereka (Fasal 25, ayat 3). Di dalam Al-Quran juga dinyatakan iaitu:

Kecuali mereka yang kamu mengikat perjanjian setia (dengannya) dari orang-orang musyrik, kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikitpun, dan mereka tidak menolong seorangpun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah kepada mereka perjanjian mereka sehingga (habis) tempohnya.

at-Tawbah:4

Berikutnya konsep perdamaian juga ditonjolkan dalam Piagam Madinah ini, di mana jika musuh berdamai maka pihak yang lain hendaklah turut berbuat demikian dengan syarat mereka bukanlah orang-orang yang memerangi agama Islam (Fasal 45). Ini menepati apa yang terkandung dalam Al-Quran iaitu firman Allah yang bermaksud:

Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

al-Anfal:61

Manakala peruntukan berhubung dengan kebebasan agama yang dinyatakan dalam fasal 25, ayat 2 selaras pula dengan firman Allah S.W.T. yang bermaksud seperti berikut:

Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.

al-Kafirun:6

Dan,

Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam).

al-Baqarah:256

Manakala pengakuan terhadap hak-hak yang telah sedia dimiliki oleh rakyat sebagaimana yang tersebut dalam fasal 3, termasuklah segala kebiasaan yang baik yang tidak ber tentangan dengan perikemanusiaan dan kepentingan awam telah memperlihatkan bahawa kelahiran Negara Islam tidaklah menghapuskan identiti kabilah-kabilah Arab dan tugas-tugasnya dari segi kemasyarakatan. Tugas-tugas yang baik yang membawa kerjasama dan kebajikan di kalangan ummah adalah dinyatakan dalam piagam (Fasal 3-11) dan dikekalkan oleh Islam.

Di antara adat kebiasaan yang baik yang dikekalkan oleh Islam ialah hukuman qisas dan diyat. Fasal 21 menyatakan:

Barangsiapa membunuh dengan sewenang-wenangnya akan seorang mukmin tanpa bukti yang cukup hendaklah dibunuh balas kecuali jika dipersetujui oleh wali mangsa yang dibunuh menerima ganti rugi darah…

Setiap hukuman yang hendak dilaksanakan mengikut peruntukan ini mestilah diputuskan oleh mahkamah pengadilan sebagaimana yang disebutkan dalam fasal 23 dan 42. Ini menunjukkan bahawa setiap kes tidaklah boleh diputuskan oleh masing-masing pihak tersendiri malah mestilah mengikut undang-undang Islam melalui cara tertentu kecuali kes-kes yang melibatkan undang-undang peribadi yang bukan Islam.

Hukuman qisas dan diyat bertujuan untuk menjaga dan melindungi manusia untuk hidup. Manakala untuk menjaga kerukunan hidup dalam masyarakat dan menjamin keamanannya, maka fasal 40 memperuntukkan pula rukun kejiranan, iaitu:

Bahawasanya jiran tetangga hendaklah diperlakukan sebagai diri sendiri, tidak boleh dilakukan terhadapnya sebarang bahaya dan juga dosa.

Kerana logiknya, jika seseorang itu tidak rela diganggu dan dilakukan kesalahan terhadap dirinya maka tidaklah wajar baginya melakukan perbuatan yang serupa terhadap orang lain. Untuk menjaga kehormatan wanita, maka fasal 41 memperuntukkan pula:

Tidaklah seseorang pun tetangga wanita boleh diganggu ketenteramannya melainkan setiap kunjungan mestilah dengan izin suaminya (ahlinya).

Selain dari peruntukan-peruntukan untuk menjaga hak-hak manusia di atas, hak-hak rakyat untuk mendapat keamanan dan perlindungan dari pemerintah juga diperuntukan dalam Piagam Madinah (Fasal 47, ayat 4 dan 5) yang memberi kebebasan dan keamanan seseorang rakyat atau warganegara Madinah, sama ada ia ingin tinggal menetap di Madinah atau meninggalkan asalkan ia bukanlah seorang pesalah atau yang zalim: Negara boleh merampas atau menggantungkan hak seseorang yang melakukan kesalahan dan kezaliman.

Antara tugas-tugas dan tanggungjawab-tanggungjawab yang mesti ditunaikan di kalangan orang-orang mukmin ialah membantu orang-orang Islam lain yang berada dalam kesempitan kerana membayar wang tebusan darah (Fasal 21). Orang-orang mukmin juga tidak dibenarkan mengambil sekutu (mawla) orang mukmin yang lain sebagai sekutunya (halif) tanpa keizinannya (Fasal 12). Tujuan dari peruntukan ini ialah untuk mengelakkan dari wujudnya pancing-memancing ahli sekutu yang boleh memecahbelahkan perpaduan ummah. Setiap orang yang beriman dikehendaki menentang sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan atau merancang tindak-tanduk yang zalim, perseteruan dan kerosakan di kalangan orang-orang mukmin (Fasal13 ayat 1). Penentangan terhadap perbuatan-perbuatan di atas hendaklah dilakukan oleh mereka sekalipun terhadap anak sendiri (Fasal 13, ayat 2), kerana tiada pilih kasih dalam undang-undang Islam.

Konsep perpaduan dan kerjasama yang sejati di kalangan umat Islam jelas tergambar dalam fasal 14, ayat 1 dan 2 yang berbunyi:

Tidak sayugia seseorang mukmin itu membunuh seorang mukmin lain kerana seorang kafir; dan tidak sayugianya ia menolong mana-mana orang kafir terhadap seorang mukmin.

Perpaduan dan kerjasama sesama mukmin terutama ketika berhadapan dengan musuh adalah selaras dengan firman Allah yang bermaksud seperti berikut:

Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.

al-Anfal:73

Kesatuan Umat Islam dapat dilihat dengan jelas dalam fasal 15, ayat 2 yang berbunyi:

“.. dan bahawasanya orang-orang mukmin hendaklah saling menjamin sesama sendiri terhadap (gangguan) orang-orang lain”.

Sungguhpun fasal ini lebih menekankan persaudaraan Islam atau persaudaraan seagama dalam Islam, tetapi ianya tidaklah menafikan hak-hak penganut-penganut agama lain untuk mendapatkan kerjasama dan bantuan dari pemerintah Islam, kerana dalam fasal yang sama sebelumnya telah pun disebutkan: Bahawasanya jaminan Allah itu adalah satu dan sama; ia melindungi nasib orang yang lemah dari perbuatan mereka. (Fasal 15, ayat 1)

Dalam peruntukan lain pula menyatakan bahawa bila berlaku peperangan, maka setiap golongan hendaklah berjuang secara bergilir-gilir dan tidak boleh diserahkan kepada sebahagian tentera sahaja, masing-masing dikehendaki bekerjasama antara satu sama lain (Fasal 18). Orang-orang Yahudi yang taat setia kepada negara berhak mendapat pertolongan tanpa dianiaya (Fasal 16).

Konsep hidup secara damai, bebas kawasan aman dan berkecuali yang dipertahankan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu sekian lama dan dilaung-laungkan pula oleh sesetengah negara-negara kecil dunia juga telah sedia termaktub dalam Piagam Bertulis Madinah. Fasal 45 menyatakan:

Apabila mereka diajak untuk berdamai atau masuk campur dalam satu-satu perdamaian maka hendaklah mereka bersedia berdamai atau masuk campur ke dalam perdamaian itu; dan bila mana mereka diajak berbuat demikian maka orang-orang mukmin hendaklah merestuinya kecuali terhadap orang-orang memerangi agama.

Manakala Fasal 47 pula memperuntukkan seperti berikut:

Bahawasanya piagam ini tidak boleh dipakai bagi melindungi orang-orang zalim dan yang bersalah; dan bahawa mulai dari saat ini, barangsiapa berpergian dari Kota Madinah atau menetap di dalamnya adalah terjamin keselamatannya kecuali orang-orang yang zalim atau bersalah. Dan bahawa Allah merestui setiap orang yang membuat kebajikan dan bertaqwa dan bahawa Muhammad hendaklah diakui Pesuruh Allah, Rasulullah.

Ringkasnya, Perlembagaan Madinah telah menggariskan beberapa prinsip umum negara menurut keperluan semasa pada zaman Rasulullah s.a.w. Walau bagaimanapun, beberapa dasar umum dari piagam ini tercatat pula dalam semua perlembagaan negara-negara. Pada keseluruhannya terdapat beberapa prinsip utama yang ditekankan dalam piagam ini, di antaranya:

  1. Al-Quran dan Al-Sunnah adalah sumber hukum negara.
  2. Kesatuan ummah dan kedaulatan negara.
  3. Kebebasan bergerak dan berwarganegara.
  4. Hak dan tanggungjawab warganegara dari segi ketahanan dan pertahanan negara.
  5. Dasar hubungan dan bantu-membantu di antara sesama warganegara.
  6. Tanggungjawab individu dan negara dalam menegakkan keadilan sosial.
  7. Beberapa undang-undang keselamatan seperti qisas dan diyat.
  8. Kebebasan beragama untuk semua kaum.
  9. Tanggungjawab negara terhadap orang-orang yang bukan Islam.

What do you think?

Written by Akmal F.

A web dev, designer, tech enthusiast, family car lover, and father, all rolled into one.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Piagam Madinah oleh Prof Madya Dr Engku Ibrahim Ismail dan Afharahman

Piagam Madinah