in

Panduan Birokrasi Pasca Kelahiran, Langkah Demi Langkah Urusan JPN dan Simpanan Bijak Buat Anak

Si Kecik dah tidur terlentang. Alhamdulillah.

Tahniah, selesai dah fasa paling mendebarkan di dewan bersalin. Sekarang si kecik comel anda dah selamat berada di rumah. Namun, tugas kita sebagai seorang bapa belum berakhir di situ sahaja. Sebaik sahaja urusan lampin dan susu mula stabil, tugasan seterusnya yang menanti anda adalah pertempuran di meja birokrasi.

Ramai bapa baru berasa pening untuk menguruskan dokumen rasmi anak. Hakikatnya, proses ini tidaklah sesukar yang disangka jika anda tahu langkah yang betul dan dokumen yang perlu dibawa. Saya kongsikan panduan terkini untuk menguruskan pendaftaran kelahiran anak serta persediaan kewangan awal mereka.

Daftarkan Kelahiran Anak di JPN dalam Tempoh 60 Hari

Jangan tunggu saat akhir. Jabatan Pendaftaran Negara menetapkan bahawa setiap kelahiran bayi di Malaysia mesti didaftarkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh dilahirkan. Kalau terlepas tempoh ini, alamatnya urusan akan jadi lebih rumit kerana ia sudah dikira sebagai pendaftaran lewat.

Sistem terkini JPN memudahkan para bapa untuk membuat permohonan secara dalam talian melalui portal rasmi mereka sebelum hadir ke kaunter. Pendaftaran secara online ini sangat menjimatkan masa kerana anda hanya perlu mengisi segala maklumat anak di rumah. Selepas permohonan diluluskan di dalam sistem, barulah anda hadir ke cawangan JPN terpilih untuk mengambil sijil kelahiran fizikal.

Bagi urusan di kaunter JPN, pastikan anda membawa fail dokumen asal bersama salinannya yang merangkumi:

  • Borang Daftar Kelahiran (Borang W) yang diberikan oleh pihak hospital tempat isteri bersalin.
  • Kad perakuan bersalin atau buku rawatan ibu sepanjang tempoh mengandung.
  • Kad pengenalan asal suami dan isteri.
  • Sijil perkahwinan asal atau dokumen perkahwinan yang sah untuk pengesahan status anak.

Pastikan ejaan nama anak diisi dengan betul dan disemak berulang kali sebelum disahkan oleh pegawai JPN. Sekiranya berlaku kesilapan ejaan pada sijil kelahiran, urusan pembetulan di kemudian hari akan memakan masa yang agak lama.

Dapatkan Sijil Kelahiran dan MyKid

Apabila semua dokumen disahkan di kaunter JPN, pegawai akan mencetak Sijil Kelahiran (Sijil Lahir) anak anda. Sijil lahir ini adalah dokumen paling penting untuk anak anda sehinggalah mereka berusia 12 tahun untuk memohon kad pengenalan.

Bagi kad MyKid pula, pihak JPN mengeluarkan kad ini berdasarkan ketersediaan cip dan bekalan semasa di cawangan mereka. Ini point penting sebab ada masanya, kita boleh ‘disidai’ hingga hampir 6 bulan.

Semasa anda mengambil sijil lahir, terus tanyakan kepada pegawai kaunter mengenai status pengeluaran MyKid untuk bayi anda. Jika bekalan kad sedia ada, anda boleh mendapatkannya terus pada hari yang sama. Jika bekalan ditangguhkan, sijil lahir asal sudah memadai untuk segala urusan rasmi anak buat sementara waktu.

Rancang Kewangan Awal Melalui SSPN dan Tabung Haji

Langkah ini sering kali dilupakan oleh bapak-bapak, padahal ia adalah hadiah terbaik untuk masa depan anak. Sebaik sahaja mendapat sijil lahir dan nombor kad pengenalan anak, anda sudah boleh mula menabung untuk mereka melalui dua platform utama di Malaysia.

Membuka Akaun Simpanan SSPN

Membuka akaun Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) melalui perbadanan PTPTN seawal usia sebulan memberikan keuntungan yang besar. Sebagai bapa yang bekerja, simpanan bersih di dalam SSPN melayakkan anda mendapat pelepasan cukai taksiran tahunan sehingga kadar maksimum yang ditetapkan kerajaan. Selain dividen tahunan yang kompetitif, terdapat pakej simpanan yang menyertakan sekali khasiat perlindungan takaful percuma untuk pendeposit dan anak.

Menyimpan di Tabung Haji

Selain SSPN, membuka akaun Tabung Haji untuk anak juga merupakan satu bentuk pelaburan yang sangat berbaloi dalam masa panjang. Menyimpan di sini sejak bayi bukan sahaja membantu mengumpul dana masa depan mereka, malah melayakkan anak anda didaftarkan dalam giliran menunaikan haji seawal usia muda. Dividen atau agihan keuntungan tahunan yang konsisten, ditambah pula dengan pengurusan zakat yang diselesaikan terus oleh pihak Tabung Haji, menjadikan ia instrumen simpanan patuh syariah yang sangat selamat dan menguntungkan.

Sentiasa Peka dengan Inisiatif Terkini Kerajaan

Sebagai bapa yang bijak, anda juga perlu rajin menyemak bantuan atau insentif kewangan semasa yang disediakan oleh pihak kerajaan. Jika kita imbas kembali sejarah, kerajaan pernah memperkenalkan program seperti ADAM50 (Amanah Dana Anak Malaysia 2050) suatu masa dahulu yang memberikan modal pelaburan percuma bernilai RM200 untuk bayi baru lahir.

Walaupun insentif seperti ADAM50 itu sudah berakhir, pihak berkuasa dari semasa ke semasa sering memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu yang berbeza mengikut perancangan belanjawan negara. Sebagai contoh, beberapa kerajaan negeri di Malaysia ada menawarkan saguhati tunai, program tabungan warisan, atau dana dididk khas untuk anak jati yang lahir di negeri mereka.

Di peringkat persekutuan pula, anda boleh memanfaatkan pelbagai insentif cukai yang ditambah baik seperti pelepasan cukai untuk yuran taman asuhan kanak-kanak (taska) serta pembelian peralatan penyusuan susu ibu. Bantuan saraan persekolahan dan bantuan kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat juga sentiasa dikemas kini nilainya bagi membantu golongan yang memerlukan. Pastikan anda tidak terlepas pandang pengumuman belanjawan tahunan demi memaksimumkan hak yang sepatutnya diterima oleh anak anda.

Menguruskan birokrasi pasca kelahiran ini mungkin nampak renyah pada awalnya, tetapi ia adalah bukti tanggungjawab pertama seorang bapa dalam memastikan hak dan kebajikan anak dilindungi di sisi undang-undang negara. Luangkan masa satu hari, sediakan fail dokumen dengan lengkap, dan selesaikan urusan ini demi ketenangan minda anda sekeluarga.

Sebenarnya artikel ini dicadangkan untuk diterbitkan pada 2019, kemudian 2020, kemudian 2021, kemudian 2022, kemudian dikemaskini pada 2026, dan..

What do you think?

Written by Akmal F.

A web dev, designer, tech enthusiast, family car lover, and father, all rolled into one.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Risalah Al-Yakin (1978) memuatkan artikel Al-Quran Pusaka Junjungan oleh Mohd Shahir Abdullah dari Universiti Malaya.

Al-Quran Pusaka Junjungan