Setiap tahun kita Umat Islam merayakan hari ulang tahun keputeraan Nabi Besar Muhammad s.a.w. Peristiwa ini kita lakukan dengan penuh kebesaran dan kegembiraan sebagai suatu tanda kesyukuran atas limpah rahmat Allah yang telah mengutuskan rasulNya untuk memimpin dan memandu kita semua ke jalan yang benar dan diredhainya.
Mengambil sempena kita merayakan hari yang mulia ini eloklah kita menambahkan lagi pengetahuan dan keimanan kita mengenai kitab suci Al-Quran yang merupakan inti dari seluruh tugas kerasulan yang dipikulkan ke atas bahu baginda. Dan Al-Quran juga adalah salah satu pusaka yang agong yang ditinggalkan kepada kita sebagaimana jelas dari sabdanya:
تركتُ فيكم شيئينِ لن تضلوا بعدهما: كتابَ اللهِ وسنتي
Maksudnya:
Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara yang kamu pasti tidak akan menjadi sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Quran dan Sunnahku.
Riwayat Al-Hakim
Oleh itu sesuai dengan maksud hadis riwayat al-Hakim yang tersebut sama-samalah kita mencari petunjuk dan panduan melalui kitab suci al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Namun begitu dalam kesempatan ini kita hanya akan tumpukan kepada kitab suci al-Quran.
Al-Quran
Supaya kita tidak mudah diganggu was-was di dalam kepercayaan kita, tidak mudah tersasul dalam mencatit atau melahirkan apa yang kita rasa, dan supaya kita tidak menimbulkan kecurigaan orang-orang lain terhadap tindak tanduk dan sikap kita, maka eloklah kita memahami Al-Quran itu sendiri. Al-Quran yang menjadi pegangan hidup kita, yang dijamin oleh Allah sebagai satu-satunya kitab pertunjuk ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Al-Quran itu ialah wahyu dari Allah S.W.T. yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk disampaikan kepada umat manusia seluruhnya, Al-Quran bukanlah hasil rekaan atau gubahan Nabi Muhammad S.A.W. dan bukan juga sebagai hasil dari pemikiran baginda yang boleh diperkecil-kecilkan dan diragui kebenarannya.
Sebenarnya Al-Quran sebagai wahyu dari Allah telah dijelaskan sendiri dari kandungannya dalam Surah Al-Najm yang menyebut:
وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلْهَوَىٰٓ ٣
إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْىٌۭ يُوحَىٰ ٤
Yang bermaksud:
Dan tidaklah nabi Muhammad S.A.W. itu bercakap menurut hawa nafsunya tetapi sebenarnya adalah wahyu yang disampaikan oleh Allah kepadanya.
An-Najm:3-4
Dan demikian juga Al-Quran menjelaskan akan kebenaran dan keasliannya bahawa ianya adalah dari Allah dan mengandungi ajaran-ajaran yang benar belaka dengan Firman Allah yang menyebut:
الٓمٓ ١
ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًۭى لِّلْمُتَّقِينَ ٢
Yang bermaksud:
Alif Lam Mim, Al-Quran itulah kitab yang tidak ada sebarang keraguan di dalamnya menjadi pertunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa.
al-Baqarah:1-2
Tujuan Diturunkan Al-Quran
Pengurusan Nabi Muhammad S.A.W. sebagai rasul yang terakhir dan memberi kitab Al-Quran kepadanya adalah tanda bagi kemurahan dan kasih sayang Allah kepada umat manusia. Al-Quran sebagai sifatnya sebuah perlembagaan dari Allah sudah tentu ianya mengandungi garis-garis panduan yang boleh menjamin kebahagiaan yang sebenar-benarnya kepada umatnya. Tujuan menurunkan Al-Quran itu antara lain:-
Pertunjuk
Firman Allah pada ayat 2 Surah Baqarah yang bermaksud:
Itulah kitab Al-Quran yang tidak ada keraguan di dalamnya jadi pertunjuk kepada orang yang bertaqwa.
Al-Baqarah:2
Peringatan
Firman Allah pada ayat 1-3 Surah Ta Ha yang bermaksud:
Ta ha, tidaklah kami menurunkan Al-Quran itu untuk memecahbelahkan tetapi sebenarnya adalah untuk memberi ingatan kepada orang yang takutkan Allah.
Taha:1-3
Menceritakan perkara-perkara ghaib
Menceritakan perkara-perkara ghaib yang tidak dapat difikiri dan tidak dapat dicari oleh akal fikiran manusia semata-mata, seperti menceritakan adanya makhluk-makhluk lain seperti malaikat dan jin, adanya hari kiamat serta dengan pembalasan syurga dan neraka, dan sebagainya.
Menyatakan hukum Allah
Menyatakan hukum Allah adalah satu-satunya hukum yang paling adil, baik dan sesuai bagi segenap lapisan manusia dan seluruh umat tanpa mengira daerah dan tempat tinggal mereka, dan hanya hukum Allahlah yang sebaik-baiknya, sebagaimana firmannya yang menyebut:
أَفَحُكْمَ ٱلْجَـٰهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكْمًۭا لِّقَوْمٍۢ يُوقِنُونَ ٥٠
Bermaksud:
Apakah hukum jahiliah yang mereka laksanakan sedangkan hukum Allahlah yang sebaik-baiknya bagi kaum yang percaya.
Al-Maidah:50
Isi Kandungan Al-Quran
Oleh kerana tujuan Al-Quran diturunkan begitu lohor dan murni yang terpancar dari sifat rahman dan rahim Allah S.W.T. maka sudah tentulah Al-Quran itu mengandungi asas-asas yang konkrit bagi menyelesaikan segala problem yang dihadapi oleh manusia itu sendiri. Atas hakikat inilah kandungan Al-Quran meliputi:-
- Asas dan bimbingan akhlak yang mulia.
- Garis panduan bagi hukum-hakam yang diperlukan oleh manusia bagi membentuk kebaikan individu, keluarga, masyarakat, negara, malah antarabangsa.
- Asas-asas susunan ekonomi yang adil yang menjamin rezeki yang wajar dikalangan umat manusia.
- Asas asas politik yang tunduk kepada kekuasaan Allah dan hukumnya yang tidak angkoh dan tidak sanggup menentang kekuasaan Allah yang mutlak.
- Nilaian ilmu pengetahuan yang mengandungi di dalamnya anikarupa yang boleh dicapai oleh manusia dan yang harus diperkembangkan untuk kepentingan jenerasi mereka.
- Inilah antara isi kandungan yang terdapat di dalam Al-Quran yang boleh difahamkan bahawa hanya Al-Quran sahaja suatu kitab Allah yang dapat menyelesaikan segala problem-problem dan dapat menjawab aneka masaalah. Pendeknya tidak ada yang kusut yang tidak dapat dihuraikan oleh Al-Quran, malah segala keperluan manusia boleh diselesaikan melalui Al-Quran. Dalam Hal ini Allah menegaskan dengan FirmanNya:
مَّا فَرَّطْنَا فِى ٱلْكِتَـٰبِ مِن شَىْءٍۢ ۚ
Maksudnya:
“Tidaklah ada sesuatu yang ditinggalkan (melainkan semuanya dijelaskan) dalam Al-Quran itu”.
Al-An’am:38
Itulah tujuan dan kandungan Al-Quran yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang menjadi pegangan dan panduan hidup umat Islam. Al-Quran ini mengandungi lebih daripada 6,666 ayat yang diturunkan secara beransur-ansur dalam tempoh kira-kira selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Cara seperti ini adalah sesuai dengan kemampuan, ingatan dan amalan serta sesuai dengan perkembangan yang berlaku dalam masyarakat dewasa itu.
Oleh itu ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan di Mekah dikenali dengan nama Makkiah dan yang diturunkan di Madinah dikenali dengan nama Madaniah. Antara kedua-dua zaman ini (Mekah dan Madinah) terdapat beberapa ciri perbezaan pada ayat itu sendiri. Antara ciri-ciri itu ialah ayat-ayat Makkiah lebih menumpukan soal-soal akidah iaitu membicarakan soal-soal ketuhanan Allah Yang Maha Esa, kepercayaan kepada Rasul-Rasul, kitab-kitab, hari akhirat serta kudrat dan iradat Allah, manakala ayat Madaniah banyak menghuraikan masaalah-masaalah pentadbiran negara, hukum-hukum dan sebagainya.
Al-Quran Sumber Kekuatan
Sejarah telah mencatitkan betapa Al-Quran telah berjaya melahirkan umat Islam yang kuat dan terkenal dikalangan umat di dunia sejak dari zaman pemerintahan Rasulullah hinggalah ke-berapa abad selepasnya. Keagungan ini berterusan sehinggalah ke suatu peringkat di mana Kerajaan Islam satu demi satu telah runtuh dan musnah akibat pemerintah dan rakyatnya tidak lagi berpegang teguh dengan ajaran Al-Quran malah telah hanyut dibawa arus hawa dan nafsunya.
Sekarang umat Islam khasnya di Malaysia sedang mencari kekuatan untuk bangun semula setelah sekian lama hidup terhina akibat lemah dalam segala-galanya. Maka dalam usaha mem-bangun ini umat Islam pastilah berpegang kepada asas yang kukuh iaitu ajaran Islam yang sumber utamanya ialah Al-Quran.
Umat Islam harus sedar bahawa sesuatu umat tidak akan mencapai kekuatannya dan keutuhannya dan tidak akan dapat mempertahankan kehormatan dan maruahnya jika ia tidak memiliki kekuatan dibidang-bidang berikut:-
1. Keyakinan dan kepercayaan
Kunci kekuatan sesuatu umat itu adalah terletak pada kekuatan iman dan kepercayaan individunya. Umat yang tidak mempunyai asas kepercayaan yang teguh terhadap nilai diri.maruah bangsa dan kehormatan negara serta tidak mempunyai suatu ideoloji atau akidah tidak akan sanggup menghadapi cabaran-cabaran hidup.
Bagi umat Islam, akidah inilah yang menjadi pendorong kearah kemajuan mereka. Akidah yang disarankan di dalam Al-Quran telah berjaya membentuk masyarakat Arab dizaman permulaan Islam khasnya sehingga mereka telah sanggup berjuang bermatian-matian dalam menegakkan ugama Allah.
Orang yang beriman dan percaya akan betapa mulianya mati dalam perjuangan menegakkan ugama Allah (syahid) tidak akan takut menghadapi bahaya maut. Orang-orang yang yakin bahawa ajal maut adalah ditentukan oleh Allah akan lebih berani dalam perjuangannya kerana dia yakin bahawa walau sebesar mana halangan dan percubaan dia tetap tidak akan mati sebelum ajalnya. Justeru kerana keyakinan yang seteguh itulah telah menjadikan Saidina Ali bin Abu Talib begitu berani menghadapi musuhnya di medan perang.
Al-Quran banyak sekali membisikkan ketelinga pendengarnya dan memarakkan kelubuk hati pembacanya tentang kemuliaan nilai-nilai akidah yang teguh serta patuh kepada apa yang diturunkan oleh Allah. Kerana pentingnya aspek inilah maka sebahagian besar dari zaman perjuangan Rasulullah terutama di zaman Mekah dihabiskan untuk menanamkan akidah. Maka diatas asas akidah yang kuat inilah Islam kemudiannya dapat muncul sebagai sebuah Kerajaan yang sebaik-baiknya.
2. Ekonomi
Atas kesedaran bahawa manusia itu tetap manusia yang memerlukan peraturan yang baik untuk menjamin keadilan di dalam pembahagian rezeki dikalangan mereka, maka Al-Quran telah menggariskan dasar-dasar yang diikuti jika keadilan ekonomi hendak dicapai.
Islam tidak pernah melarang umatnya memperoleh harta dan memilikinya sebanyak mana yang dia mampu asalkan ianya diperolehinya melalui jalan yang dihalalkan oleh Allah. Di dalam Al-Quran pada Surah Al-Jumaat Allah menjelaskan betapa pentingnya umat Islam bekerja untuk memperolehi rezeki yang telah disediakan oleh Allah itu dengan FirmanNya:-
فَإِذَا قُضِيَتِ ٱلصَّلَوٰةُ فَٱنتَشِرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَٱبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِ ٱللَّهِ وَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ١٠
Yang bermaksud:
“Maka apabila telah selesai kamu mengerjakan sembahyang (Jumaat) maka bertaburanlah kamu di muka bumi dan carilah dari rezeki yang telah disediakan oleh Allah dan disamping itu ingatlah kepada Allah banyak-banyak moga-moga kamu beroleh kejayaan.
Al-Jumu’ah:10
Inilah satu penjelasan dari Al-Quran bahawa Islam tidak pernah menghalang seseorang pemeluknya dari mencari rezeki untuk kepentingan dirinya, keluarganya dan seterusnya untuk masyarakatnya. Malah didalam beberapa ayat yang lainnya pula Allah memberi panduan supaya rezeki yang dimakan itu hendaklah diperolehi melalui cara-cara yang halal seperti perniagaan, pertanian, mengambil upah dan sebagainya dan janganlah diperolehi melalui cara-cara yang tidak benar seperti:
a. Cara rasuah
Firman Allah yang berbunyi:
وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ وَتُدْلُوا۟ بِهَآ إِلَى ٱلْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا۟ فَرِيقًۭا مِّنْ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ١٨٨
Yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu makan harta dari kalangan kamu secara tidak betul dan kamu mengemukakan kepada pihak pengadilan dengan tujuan memakan harta orang lain secara berdosa (tidak benar) sedangkan kamu mengetahui”.
Al-Baqarah:188
b. Cara mencuri
Mencari makan dengan jalan mencuri adalah suatu usaha yang tidak baik malah dikutuk oleh Allah. Maka untuk mengelak dan menghindarkan masyarakat dari ancaman-ancaman pencuri, Al-Quran telah menerangkan hukum, “had” yang keras ke atas pencuri-pencuri dengan firmannya:
وَٱلسَّارِقُ وَٱلسَّارِقَةُ فَٱقْطَعُوٓا۟ أَيْدِيَهُمَا جَزَآءًۢ بِمَا كَسَبَا نَكَـٰلًۭا مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌۭ ٣٨
Yang bermaksud:
Pencuri lelaki dan perempuan hendaklah dipotong tangan mereka balasan atas perbuatan mereka yang merupakan hukuman dari Allah, sesungguhnya Allah Maha perkasa lagi bijaksana.
Al-Ma’idah:38
c. Cara Amalan Riba:
Riba ialah suatu cara pengumpulan harta yang tidak berperikemanusiaan di mana orang-orang yang mampu dan berada memberi pinjaman kepada orang-orang miskin dan tidak mampu dan kemudiannya mengenakan bunga atau faedah atas pinjaman itu. Dengan faedah-faedah inilah gulungan yang kaya bertambah kaya melalui cara-cara yang menindas dan kejam kemudian yang miskin akan terus tertindas disepanjang masa.
Selain daripada penjelasan dan bimbingan mengenai jalan-jalan dan cara-cara yang sepatutnya dipatuhi oleh umat manusia dalam memperolehi harta kekayaannya, maka Al-Quran juga sentiasa menasihatkan supaya harta-harta yang diperolehi itu dibelanjakan kepada perkara-perkara yang bermunafaat kepada dirinya, keluarganya,masyarakatnya dan negaranya.Orang-orang yang kaya diwajibkan supaya mengeluarkan zakat dari hasil tanaman, perdagangan,perlombongan, ternakan dan sebagainya dan disamping itu digalakkan supaya mereka bersedekah dan berderma kepada sesuatu tujuan yang baik dan diredai oleh Allah. Sebagai galakkan kepada amalan bersedekah Allah menjanjikan balasan yang baik dengan firmannya:
مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍۢ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍۢ ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٢٦١
Yang bermaksud:
Allah telah membuat perbandingan balasan kepada orang-orang yang berbelanja harta mereka pada jalan yang diredhai Allah seperti satu biji-bijian yang dapat menumbuhkan tujuh tangkai yang kemudiannya tiap-tiap setangkai dapat menghasilkan seratus biji.
Al-Baqarah:261
Faktor ekonomi merupakan satu faktur yang penting dan utama dalam menentukan kekuatan umat Islam. Sejarah telah membuktikan betapa dengan kekayaan yang dimiliki oleh orang-orang Islam dizaman permulaannya maka Islam telah dapat berkembang pesat. Bantuan-bantuan kewangan, telah dapat meringankan beban kerajaan Islam dalam menyediakan kelengkapan perang menentang ancaman-ancaman dari musuh.
3. Ilmu Pengetahuan:
Ilmu pengetahuan juga merupakan faktor penting dalam menentukan kekuatan sesuatu umat itu. Umat yang jahil dan bodoh tentu tidak dapat menghasilkan sesuatu yang bermutu, dan sudah tentu akan kalah bila berhadapan dengan musuh-musuh yang lebih berpengetahuan dan lebih tinggi ilmunya.
Islam telah memberi perhatian yang sungguh-sungguh bahawa ilmu pengetahuan itu penting dipelajari, dicari dan diteroka oleh umat Islam. Ayat Al-Quran yang pertama diturunkan oleh Allah berbunyi ‘Iqra’ yang bermaksud: “Bacalah”. Dan begitu juga banyak terdapat di dalam Al-Quran yang menunjukkan kelebihan dan keberuntungan kepada orang yang berilmu pengetahuan. Allah telah mengangkat beberapa darjah ketinggian kepada orang-orang yang berilmu pengetahuan dan juga diberi kepada mereka kelebihan-kelebihan dan kebaikan-kebaikan yang banyak, antara ayat-ayat Al-Quran yang menghargai orang-orang yang berpengetahuan ialah firman Allah:-
وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُوا۟ فَٱنشُزُوا۟ يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَـٰتٍۢ ۚ
Maksudnya:
Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat.
Al-Mujadilah:11
Dan didalam ayat yang lain Allah berfirman:
يُؤْتِى ٱلْحِكْمَةَ مَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ ٱلْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِىَ خَيْرًۭا كَثِيرًۭا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ ٢٦٩
Maksudnya:
Allah memberi kebijaksanaan (hikmat)kepada sesiapa yang dikehendakinya dan sesungguhnya orang-orang yang dikurniakan hikmat itu mendapat kebaikan yang banyak.
Al-Baqarah:269
Dalam kewajipan menuntut ilmu, Islam tidak membezakan samada seseorang itu lelaki atau perempuan. Malah kewajipan itu dikenakan secara keseluruhannya. Dan ilmu pengetahuan yang disuruh tuntut itu tidak pula terbatas kepada ilmu-ilmu yang termasuk di dalam kumpulan “Fardhu Ain” yang mana seseorang itu wajib menuntutnya, tetapi terbuka luas kepada bidang-bidang ilmu yang lain seperti kedoktoran, kedukunan, kesusasteraan, pertanian, sains dan sebagainya. Kerana dengan adanya kemahiran disegala bidang keperluan utama Islam sahajalah maka kekuatan umat itu akan terjamin.
4. Moral:
Kekuatan dan ketinggian sesuatu umat itu dinilai dari sudut moralnya. Nilai morallah yang menentukan sifat kemanusiaan sesuatu umat itu.
Tanpa moral manusia tidak lagi bertaraf manusia, malah diturunkan taraf dan darjatnya setaraf dengan binatang atau lebih rendah dari itu.
Oleh kerana Islam itu adalah ugama Allah yang diturunkan untuk mengekalkan sifat kemanusiaan yang sepatutnya ada pada manusia, maka Al-Quran telah menerangkan asas-asas moral yang mulia dan tinggi untuk dicontohi, diikuti dan ditauladani. Sifat-sifat jujur, amanah, adil, timbangrasa, ikhlas dan bertanggungjawab adalah di antara sifat-sifat yang mulia yang sangat-sangat dituntut oleh Islam supaya ianya kekal menjadi perhiasan diri kepada setiap individu muslim, manakala sifat-sifat pemarah, pendendam, dengki khianat, cuai dan kejam adalah di antara sifat-sifat yang amat dibenci oleh Islam. Sifat-sifat yang keji seperti ini jika ia bersarang dan bertapak dilubuk hati seseorang individu, maka ia akan mendatangkan kesan yang buruk kepada dirinya,masyarakat dan seterusnya negara. Seseorang pemimpin yang khianat, tidak adil dan cuai tentu tidak dapat memimpin dengan baik malah mendatangkan bencana yang besar kepada negara seluruhnya.
Selain daripada sifat-sifat yang tersebut di atas, Islam menerangkan beberapa kesan buruk yang boleh didatangkan dari beberapa jenayah seperti zina, minum arak, mencuri, dan membunuh. Maka untuk menghalang masyarakat dari jenayah-jenayah tersebut Al-Quran telah menerangkan hukumnya yang datang dari Allah sendiri mengenai beberapa kesalahan tersebut misalnya bagi kesalahan zina seseorang itu boleh dihukum sebat seratus kali sebat jika penzina itu belum pernah berkahwin lagi, bagi pencuri dipotong tangannya dan bagi pembunuh dibunuh balas.
Itulah beberapa asas moral dan hukumnya, yang ditetapkan ke atas pelanggar peraturan itu. Walau betapa kerasnya kelihatan bentuk hukuman yang ditetapkan oleh Allah itu, ianya tidak boleh dipersoalkan lagi. Allah maha mengetahui segala kehendak manusia dan maha bijaksana dalam menentukan hukum yang patut diterima oleh orang-orang yang ingkar itu.
5. Ketenteraan:
Matlamat bagi sesebuah negara Islam ialah mewujudkan keamanan dan memberi suasana yang penuh selesa kepada rakyat jelata supaya mereka dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab serta dapat menguruskan segala keperluan mereka dalam keadaan yang aman dan harmoni. Untuk menjamin keamanan yang kekal maka kelengkapan ketenteraan dan alat senjata hendaklah diperkuat dan dilengkapi dan sentiasa berada dalam keadaan siap sedia dan berwaspada setiap masa.
Dengan menyedari hakikat bahawa setiap perjuangan yang baik dan mulia tidak semestinya
direstui dan diingini oleh semua orang, malah terdapat gulungan yang berusaha untuk menghancurkan dan menggagalkan cita-cita murni itu supaya kepentingan-kepentingan mereka yang tidak berperikemanusiaan dapat mereka capai dengan apa cara sekalipun; Maka kerana itu Al-Quran mengarahkan supaya Kerajaan Islam hendaklah menyediakan angkatan tentera yang terlatih dan cekap serta mempunyai peralatan yang paling baik untuk menghadapi ancaman dari musuh yang sentiasa mengancam dan mengganggu keamanan umat dan negara Islam. Di dalam sepotong ayat Al-Quran Allah menjelaskan:
وَأَعِدُّوا۟ لَهُم مَّا ٱسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍۢ وَمِن رِّبَاطِ ٱلْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ
Maksudnya:
Dan bersiap sedialah untuk menghadapi mereka sedaya mungkin dengan peralatan tentera yang cukup untuk menghalau musuh-musuh Allah dan musuh kamu itu.
al-Anfal:60
Dalam arahan yang tersebut ada terselit suatu mesej yang amat penting dimana jika setiap umat Islam khasnya anggota-anggota tentera dan pasukan keselamatan memahaminya maka ianya adalah menjadi dorongan yang amat kuat bagi meneruskan perjuangan mereka. laitu bila mereka sedar dan faham bahawa musuh yang ada dihadapan mereka itu adalah musuh Allah yang diwajibkan supaya diperangi habis-habisan, dan perjuangan yang mereka lakukan itu adalah suatu tanggungjawab dan amanah dari Allah maka sudah tentu dia tidak akan bacul dalam perjuangannya. Dia tidak akan menyerah kalah sebelum berjuang dan dia akan rela menerima takdir untuk mati sebagai Syuhada yang dijamin keamanan dan kebahagiaan oleh Allah diakhirat. Inilah semangat keimanan dan keberanian yang ada pada perwira-perwira dan para mujahid Islam di-zaman keagongan dahulu dan kerana itu mereka terus berjaya meski pun bilangannya sedikit ber-banding dengan bilangan angkatan musuh. Dalam hal ini Allah mencatitkan didalam Al-Quran dengan firmannya:
فَإِن يَكُن مِّنكُم مِّا۟ئَةٌۭ صَابِرَةٌۭ يَغْلِبُوا۟ مِا۟ئَتَيْنِ ۚ
Maksudnya:
Seratus orang tentera yang beriman dan sabar dapat mengalahkan dua ratus orang musuh.
Al-Anfal:66
Itulah antara faktur penting yang boleh menjamin dan menentukan kekuatan umat Islam. Oleh kerana umat Islam itu mempunyai iman yang teguh, ekonomi yang kukuh, moral yang tinggi, pengetahuan yang baik dan angkatan tentera yang cekap dan sempurna maka umat Islam disuatu masa dahulu telah terkenal sebagai satu umat yang kuat, yang disegani dan dihormati oleh seluruh masyarakat.
Berulang kembali sejarah kebangkitan dan kekuatan umat Islam sekali lagi bukanlah sesuatu yang mustahil yang tidak dapat berlaku malah masanya pasti akan datang dan umat Islam akan berdiri sebagai suatu umat yang kuat di dunia ini apabila ianya kembali mempraktikkan ajaran-ajaran Al-Quran dan tidak hanya setakat membacanya dimusim-musim yang tertentu. Ini jelas dari firman Allah:
وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُوا۟ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِنِينَ ٦٩
Maksudnya:
Dan mereka yang berjuang untuk menegakkan ugama kami maka pasti kami menunjukkan kepada mereka beberapa jalan yang boleh menolong kejayaan mereka.
Al-Ankabut:69
Beberapa Kekeliruan Mengenai Al-Quran
Musuh-musuh Islam dan tali barutnya terutama dari gulungan orientalis barat telah menyedari akan betapa besarnya pengaruh Al-Quran kepada Umat Islam sendiri. Oleh itu satu cara yang berkesan yang difikirkan oleh mereka bagi melemahkan umat Islam ialah menjauhkan umat Islam dari Al-Quran ini. Bagi mencapai tujuan ini mereka bergerak dengan cara yang amat licin dan halus sekali dengan menimbulkan beberapa keraguan dan kekeliruan dikalangan umat Islam. Mereka timbulkan berbagai fitnah kononnya hukum Islam itu tidak sesuai bagi menjamin kebahagian masyarakat terutama kerana hukum-hukum yang terkandung didalamnya tidak berperikemanusiaan dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman yang kononnya serba maju dan berkembang ini. Mereka juga berusaha menanamkan perasaan I supaya umat Islam mengabaikan dan tidak menaruh minat kepada ajaran Al-Quran dengan menimbulkan anggapan anggapan bahawa membaca Al-Quran tanpa mengetahui artinya tidak ada faedah dan sia-sia belaka.
Inilah di antara taktik-taktik yang mereka gunakan disamping mereka meracuni pemikiran umat Islam melalui berbagai-bagai organisasi yang kemudiannya kesan dari usaha-usaha jahàt itu tersebar meluas dikalangan umat dan negara Islam sehingga telah menimbulkan keadaan yang serba salah dikalangan pejuang-pejuang Islam yang cintakan kebenaran dan kemurniaan peraturan-peraturan dari Allah itu. Oleh itu adalah menjadi tugas umat Islam semua menolak dan menumbangkan dakwaan palsu serupa itu dan menyakini sepenuh-penuhnya bahawa segala peraturan dan hukum yang ditetapkan oleh Allah itu adalah sebaik-baiknya dan membaca Al-Quran miskipun tidak mengetahui isi dan artinya adalah satu ibadat yang digalakkan oleh Islam dan besar pahalanya disisi Allah.
Penutup
Sesungguhnya sudah 20 tahun kita merdeka dan sudah selama itulah kita menerima hakikat dari perlembagaan kita bahawa Islam adalah ugama resmi negara. Dalam tempoh selama itu kita akui telah banyak usaha-usaha yang kita curahkan untuk kepentingan ugama kita. Kita telah curahkan tenaga dalam bentuk menjalankan kegiatan menyeru dan mengajak kepada ugama Islam, tetapi amat kurang dibidang penguatkuasaan hukum-hukum itu sendiri. Corak perjuangan kita setakat ini lebih cenderung kepada bentuk perjuangan Rasulullah dizaman Mekah-nya yang dijalankan oleh baginda selama 13 tahun sahaja.
Adalah tidak keterlaluan jika setelah kita berjaya melancarkan Rancangan Malaysia Ketiga dan dasar ekonomi baru, maka kita mulakan satu zaman baru pula iaitu zaman memperaktikkan segala peraturan dan hukum-hakam Islam khas-nya hukum-hukum yang terdapat didalam al-Quran yang telah kita akui ianya sebagai sumber kebahagian dan kekuatan umat kita. Hanya inilah satu-satunya jalan keluar yang paling selamat dan dijamin untuk kita semua. Sesungguhnya tentulah kurang manfaatnya yang dapat kita terima sekiranya kita hanya membesar-besarkan upacara sambutan hari ulangtahun keputraan Nabi Muhammad S.A.W. ini tanpa mengusahakan sesuatu yang boleh membawa kita mencontohi peribadi baginda Rasulullah, sedangkan Allah telah menjelaskan di dalam al-Quran dengan firmanNya:
وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمْ عَنْهُ فَٱنتَهُوا۟ ۚ
Maksudnya:
Dan apa yang telah disampaikan oleh Rasul kepada kamu hendaklah kamu ambilnya dan apa-apa yang ditegah kepada kamu, maka hendaklah kamu hentikan (jauhi).
Al-Hashr:7
Artikel ini ditulis oleh Mohd Shahir Abdullah, pemegang ijazah B.A. (Hons.) dari Universiti Malaya. Ia diterbitkan dalam risalah Al-Yakin, Tahun 4 Siri 12 (1398H/1978M) oleh Pusat Penyelidikan Islam, Jabatan Perdana Menteri Malaysia di Kuala Lumpur, dan dicetak oleh Percetakan Watan bernombor talipon 299900.
