in

Kenapa Beragama

Sekilas pandang tajuk yang di atas menampakkan suatu persoalan yang tidak perlu diberi jawapan kerana sudah menjadi pengetahuan umum bahawa beragama itu adalah suatu perkara yang telah menjadi tabiat manusia. Kalau kita kaji sejarah orang-orang dahulu kala kita dapati semuanya beragama walaupun beragama yang tidak diakui oleh Pencipta Alam ini. Tetapi soalannya mereka tetap beragama dan tetap mengakui diri mereka lemah.

Oleh kerana pada zaman yang dikatakan moden ini umat manusia kononnya sudah sampai kemercu kejayaan dan kemajuan dalam segala bidang, telah menganggap bahawa orang-orang dahulu kala itu beragama kerana ingin mencari perlindungan dari bencana alam, oleh itu apa yang mereka jumpai dan disangkanya boleh memberi kemerbahayaan ke atasnya maka disembahnyalah fenomena alam itu dan seterusnya.

Pendapat ini diserapkan pula kepada agama Islam. Mereka berpendapat bahawa agama Islam juga melalui proses yang sama dengan agama-agama yang lain. Pendapat ini tidaklah dapat kita terima kerana agama Islam adalah suatu agama yang diturunkan oleh Allah melalui Jibrail kepada Muhammad s.a.w. untuk disebarkan terus kepada seluruh umat manusia ketika itu tanpa ada batasan tidak kira apa bangsa sekalipun. Tugas Nabi Besar Junjungan kita ialah menyam paikan atau memberi dakwah tentang agama tersebut. Seorang ahli fikir mahu tidak mahu mesti mempunyai suatu titik bertolak atau punca fikiran untuk menganuti fikirannya. Dengan dasar inilah ia akan menjawab sebarang persoalan yang ditimbulkan berlandaskan prinsip-prinsip tadi, itulah dia beragama.

Definasi Agama

Kalimat agama adalah berasal dari bahasa Sanskret sama ertinya dengan “peraturan” dalam bahasa kita. Ada juga yang mengatakan kalimat agama dalam bahasa Sanskret itu asalnya terdiri dari dua suku kata iaitu suku A dan suku Gama yang pertama bermakna TIDAK dan suku yang kedua bermakna KACAU, jadi makna kedua-duanya tidak kacau.

Professor Dr Hamka menegaskan dalam bukunya “Tasauf Moden” bahawa agama itu ialah buah atau hasil kepercayaan dalam hati; iaitu ibadat yang terbit lantaran telah ada iktikad lebih dahulu, menurut dan patuh kerana iman. Maka tidaklah timbul ibadat kalau tidak ada tasdiq dan tidak terbit patuh kalau tidak dari taat yang terbit lantaran telah ada tasdiq (membenarkan) atau iman.

Secara umum dapat dikatakan bahawa agama itu adalah suatu peraturan atau undang-undang yang wajib dipatuhi supaya umat manusia dapat hidup dengan aman dan tenteram berdasarkan kehendak-kehendak agama tersebut.

Agama itu aturan. Hidup tanpa peraturan tentu menimbulkan kemelaratan, kekacauan, penganiayaan dan sebagainya.

Hidup yang tidak berperaturan serupalah dengan haiwan-haiwan. Haiwan-haiwan itu tidak tahu kepunyaan siapa yang dimakannya. Haiwan itu tidak ada larangan, bila lapar dimakannya. Haiwan itu dapat berbuat sesuka hatinya. Yang kuat mengejar si lemah. Yang besar mematuk si kecil, si gagah tempat takut si lemah. Hidup tidak berperaturan itu adalah hidup haiwan-haiwan.

Tetapi sarjana-sarjana Barat pula menganggap bahawa agama yang dipanggilnya sebagai “religion” itu berasal dari kalimat yang dimaksudkan sebagai suatu ikatan lengkap untuk mengikat manusia dengan sebahagian pekerjaannya dengan ikatan wajib dan untuk mengikat seorang manusia dengan tuhan.

Tegasnya mereka mengatakan bahawa agama itu adalah semata-mata pengikat antara makhluk dan tuhan. Dalam hal ini Zainal Arifin Abbas mengulas dalam sebuah bukunya bahawa “Religion” itu diibarat suatu organisasi atau peraturan terkandung di dalamnya tiga bahagian:

  1. Untuk mematuhkan manusia mengerjakan pekerjaan yang perlu untuk keperluan masyarakat;
  2. Ikatan manusia dengan manusia dengan ertikata yang luas;
  3. Mengikat manusia dengan tuhan-tuhan.

Tuhan yang dikehendaki oleh takrif “Religion” ini bukanlah Tuhan Yang Maha Esa tetapi tuhan-tuhan yang disembah oleh orang-orang dahulu kala, seperti dewa-dewa dan sebagainya.

Professor Sheikh Mustafa Abd. Razik memberikan konklusinya terhadap makna agama sebagai terjemahan dari kalimat “Din” seperti berikut:

“Agama ialah peraturan-peraturan yang terdiri daripada kepercayaan-kepercayaan dan pekerjaan-pekerjaan yang bertaut dengan keadaan-keadaan yang suci. Ertinya yang membezakan mana yang halal dan mana yang terlarang yang dapat membawa atau mendorong umat yang menganutnya untuk menjadi sesuatu yang mempunyai kesatuan rohani yang kuat. Ini adalah makna agama yang lengkap yang sudah dipelajari dari segala sudut yang juga disebutkan oleh Durkheim dalam bukunya: “Les Formes élémentaires de la vie religieuse”, Paris 1912.” 

Makna Ad-Din (Agama) Dalam Bahasa Arab

Di dalam Bahasa Arab terdapat makna-makna Ad-Din seperti berikut:

1. Pembalasan, seperti dalam ayat

مَـٰلِكِ يَوْمِ ٱلدِّينِ

Al-Fatihah:4

(Ayat 4: Al Fatihah) iaitu Hari Pem-balasan: Hari Qiamat;

2. Hukuman dan kekuasaan seperti dalam ayat:

مَا كَانَ لِيَأْخُذَ أَخَاهُ فِى دِينِ ٱلْمَلِكِ

Yusuf:76

(Ayat 76: Yusoff);

3. Adat dan keadaan seperti dalam syaer:

اهذا دينه أبدا وديني؟

Adakah ini agamanya selama-lamanya, dan (juga) agamaku?

4. Patuh dan Taat seperti:

دان له وديانة “اي خضع وذل واطاع

Dia tunduk kepadanya dan taat, iaitu dia merendah diri, tunduk, dan patuh.

5. Peraturan atau undang-undang yang dipatuhi oleh jismani dan rohani seperti:

دان بكذا يعنى اتخذه دينا وتعبد به

Dia menjadikan sesuatu itu sebagai agama (pegangan hidup) dan beribadah dengannya.

Kesimpulannya: Agama ialah undang-undang yang diciptakan oleh Tuhan untuk dipatuhi oleh makhlukNya demi untuk kepentingan mereka di dunia dan di akhirat, dan disediakan balasan-balasan yang setimpal lagi saksama untuk mereka.

Mengikut takrif ini, agama adalah meliputi Aqidah dan Amal, dan hanya Agama Tuhan seperti Islam, Masihi dan Yahudi sahaja yang diakui sebagai agama. Adapun yang lain daripada umpama ketiga-tiga ini tidaklah dianggap agama malah adat resam sahaja.

Ada juga Takrif dan pengertian lain kepada agama yang kita rasa tidak perlu diperbincangkan.

Pada prinsipnya makna “Din” (Agama) yang pokok ialah taat dan balasan atau himpunan daripada tiga:

  1. Taat;
  2. Hisab; dan
  3. Balasan.

Kenapa Beragama

Apabila persoalannya “kenapa” maka timbullah jawapan “Kerana”.

Setelah kita perhatikan bahawa takrif agama (yang bukan takrif yang dibawa oleh Islam) ialah mencari ketenangan, keamanan, kebahagiaan dan peraturan supaya dapat diikuti oleh seluruh umat bagi menjamin undang-undang itu tidak dicerobohi.

Agama sebagai suatu jalan atau penunjuk jalan serta memberi batasan-batasan yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Dan fikiran pula ialah untuk membanding dan menimbang sahaja tidak lebih dari itu.

Sifat manusia mempercayai Tuhan Pencipta Alam ini terdapat bersama dengan adanya tubuh manusia sebagaimana yang ternyata semenjak zaman yang dikenal sampai hari ini. Atau paling tidak kepercayaan kepada adanya Tuhan itu telah mengambil tempat pada diri manusia serupa lain-lain pengetahuan yang ada pada setiap manusia yang mempunyai fikiran. Erti pengetahuan biasa bagi manusia, iaitu tiap-tiap suatu itu ada sebabnya atau ada yang memperbuatnya dan sebagainya. Apabila manusia itu melihat alam yang luas dan besar ini akan timbullah pertanyaan dalam kalbunya: tentu ada juga sebab maka ada alam ini atau tentu ada pembuat yang telah membangunkan alam ini ataupun sebagainya.

Dalam hal ini Drs Sidi Gazalba menegaskan bahawa pada umumnya dapat dikatakan bahawa religi (agama) adalah kecenderungan rohani manusia dalam hubungannya dengan alam semesta, nilai yang meliputi segalanya hakikat dari semuanya.

Keinginan ruhani inilah fitrah ciptaan Allah yang telah dijadikannya pada tiap-tiap jiwa manusia. Fitrah itu jika tidak dihalangi atau dirosak-rosak jalannya pasti akan memperlihatkan dirinya serta melahirkan buahnya.

Sebagaimana umum diketahui bahawa makhluk Allah seperti manusia ini dibekalkan keinginan-keinginan yang perlu dipenuhi sebagai suatu cara untuk memuaskannya. Oleh itu untuk memuaskannya itu adalah dengan cara mengikut jalan yang ditunjukki oleh akal fikiran yang kosong dari sebarang pertunjuk atau mengikut keinginan nafsu. Segala keinginan itu tidak mengenal batas, tidak mengenal hukum, peraturan atau kaedah-kaedah sosial. Tetapi apa yang dikenalnya ialah ingin dipenuhi. Dalam ajaran agama keinginan ini disebut sebagai hawa nafsu yang sentiasa mendorong orang supaya melakukan kehendaknya. Maka untuk mengendalikan nafsu yang tidak mengetahui sebarang tegahan itu ialah dengan cara beragama. Dengan cara beragamalah maka dapat dikendalikan nafsu yang sangat degil dan pandai memujuk tuannya supaya dapat menikmati sesuatu itu secepat mungkin; nafsu yang sangat rakus itu tidak peduli ke manakah tuannya akan dibawa jika sekiranya perbuatan larangan terus dilakukan.

Matlamatnya semata-mata untuk mencari keseronokan. Oleh itu dengan adanya agama maka dapatlah membezakan antara masyarakat manusia dan masyarakat haiwan.

Hidup tidak berperaturan itu adalah hidup haiwan-haiwan. Manusia dengan kehormatannya perlu ada aturan untuk hidupnya. Manusia adalah makhluk yang sebaik-baiknya dijadikan oleh Allah Ta’ala. Manusia haruslah berbeza hidupnya dengan haiwan-haiwan itu. Manusia perlu kepada aturan.

Ada pula yang berkata:

“Jika maksud agama hendak mendidik manusia berperangai baik, sedang saya telah berperangai baik, tidak mencuri, tidak berzina, tidak menganiaya apa guna saya beragama lagi?”

Professor Hamka telah menjawab soalan ini dengan katanya:

“Itulah orang yang hendak lari dari agama, tetapi tidak dapat melepaskan ikatan agama dari dirinya. Sebab siapakah yang lebih dulu dari agama yang menerangkan bahawa mengambil hak milik orang lain dinamai mencuri! Siapakah yang menamai perhubungan di luar nikah itu zina? Dan siapakah yang mengatakan merampas hak milik orang lain itu menganiaya? Apakah salahnya kalau orang yang bertanya itu mencuri supaya anaknya makan? Apakah salahnya zina? Padahal alam menjadikan manusia lelaki dan perempuan sama-sama mempunyai alat untuk bersetubuh? Apakah salahnya menganiaya? Bukankah manusia berkuat ke lemah? Kalau semuanya itu salah, siapakah yang mengatakan salah?

Dijawabnya, kemanusiaan!

Kalau itu yang dikatakan kemanusiaan apakah bezanya dengan agama? Apakah yang memberatkan tuan menamainya agama?”

Tasawuf Moden, HAMKA

Setelah manusia menikmati keamanan, ketenteraman, kebahagian dengan adanya agama tadi di mana kita katakan bahawa agama tidak menimbulkan kekacauan; maka itulah yang menjadi pokok pangkal bagi manusia untuk mencari Tuhan dan perlunya hidup dalam beragama.

Bagi jiwa yang sedang gelisah agama akan memberi jalan dan siraman penerang hati. Tidak sedikit kita mendengar orang-orang yang kebingungan dalam hidupnya selama ia belum beragama tetapi setelah mulai mengenal dan menjalankan agama, ketenangan jiwa akan datang.

Agama Islam

Agama Islam yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w. bukan semata-mata untuk mencari bekalan Hari Akhirat tetapi mengadungi ajaran-ajaran untuk memakmurkan alam ini. Dengan adanya kemakmuran atau kemewahan belum tentu seseorang itu akan menikmati kebahagian kerana banyak yang kaya banyak yang mewah pada lahirnya tetapi ombak kegelisahan di dalam hati tetap berkocak kalau tidak disertai dengan keagamaan.

Apabila masih lagi tidak menikmati kebahagiaan, maka di sinilah terletak pentingnya agama itu kerana ia mengadungi ajaran dan cara-caгa yang ditentukan oleh Tuhan untuk kita lakukan dan patuhi dalam hidup, baik dalam hubungan dengan Tuhan mahupun dengan diri sendiri dan orang lain. Bahkan lain tidak mungkin akan kita capai hubungan yang baik hanya dengan pendekatan ilmiah sahaja, tetapi haruslah melalui ajaran-ajaran langsung yang diturunkan oleh Tuhan melalui nabi-nabi dan rasulNya. Ajaran tersebut disimpulkan dalam kitab-kitab suci. Kitab-kitab suci dari suatu agama, seperti Al-Quran dalam agama Islam memuat ketentuan yang diturunkan langsung oleh Tuhan kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk menjadi pedoman hidup yang abadi bagi umat manusia.

Islam adalah suatu agama yang mengandungi pelajaran dan pendidikan diri bagi tiap-tiap individu untuk merobah pusaka adat kebiasaan hidup yang buruk dan tercela ke arah hidup yang baik dan terpuji dalam bermasyarakat.

Pelajaran dan pendidikan Islam yang demikian itulah menunjukkan bahawa ia adalah agama yang mengekalkan fitrah manusia dalam perikemanusiaan. Itulah sebabnya dalam ibadat kepada Allah ajaran Islam menjadi pokok asal pendidikan roh yang positif. Dan dengan penjelasannya yang demikian dapatlah dimengerti pula bahawa Islam adalah agama yang sesuai dengan fitrah manusia. Ini adalah telah menjadi hukum positif dalam Al-Quran.

Begitulah manifestasi Islam yang merupakan kenyataan dalam sejarahnya, bagi kesucian dan kebenaran pedoman kitab Allah Al-Quranul Karim dan Sunnah Nabi-Nya sebagai dasar kanunnya yang utama.

Aturan dan pertunjuk Islam itu melengkapi aturan-aturan duniawi dan aturan-aturan untuk mencapai kebahagian di akhirat kelak. Aturan-aturan Allah Ta’ala yang disebut dengan agama Islam adalah sebaik-baik aturan. Kebaikan agama Islam ini dijelaskan oleh Allah Ta’ala di dalam kitab suci Al-Quran Surah Al-Maidah, ayat 3:

ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَـٰمَ دِينًۭا ۚ

Al-Maidah:3

maksudnya:

“Hari ini Ku sempurnakan agama (din) kamu, Ku sempurnakan nikmatku kepadamu, Aku hanya redha Islam yang menjadi agama kamu.”

Al-Maidah:3

Banyak yang menganggap bahawa agama itu sebagai suatu kebudayaan sahaja. Oleh itu maka kita dapati mereka akan mengenakan pakaian yang diwajibkan oleh agama (yang katanya kebudayaan) di majlis-majlis keramaian perkahwinan, kenduri-kendara, kematian dan sebagainya. Selain dari itu mereka terus membuka tudu kepala kerana mereka anggap memakai tudung tudung adalah suatu perbuatan kolot dan luar daripada kehendak zaman hari ini. Tetapi mereka tidak insaf bahawa agama itu adalah suatu perinsip hidup untuk dijadikan sebagai teras bagi menjalani kehidupan di maya pada ini.

Kerana itu dapatlah kita katakan bahawa agama itu mempunyai fungsi yang amat penting dalam kehidupan manusia. Tanpa agama, manusia  tidak mungkin merasakan kebahagiaan dan ketenangan hidup. Tanpa agama mustahil dapat dibina suasana aman dan tenteram dalam masyarakat. Tanpa agama, kekuasaan dan kedudukan dapat digunakan untuk menghancur leburkan kehidupan bangsa bukan melindunginya. Tanpa agama ilmu pengetahuan dapat digunakan untuk menghancurkan dunia ini dengan jalan mengacau dan mengeruhkan suasana dalam masyarakat. Dengan rengkas dapat dikatakan: Tanpa agama mustahil dicapai masyarakat adil dan makmur.

Memang banyak yang menyangkakan bahawa kekayaan materiallah yang dapat memberikan ketenangan dan kebahagiaan terhadap individu dan masyarakat tetapi serentak dengan itulah bermaharajalelanya keganasan, kerosakan akhlak, rogol, persetubuhan haram, minum arak dan seterusnya perbuatan maksiat yang lain yang mana ketika itu sudah tidak diketahui di manakah wang yang hendak dialirkan kerana fikiran mereka telah disaluti dengan kebendaan.

Tidak sedikit orang yang menjadi lupa daratan apabila kekayaannya bertambah. Orang kaya yang tidak beragama atau tidak menjalankan agamanya, biasanya menilai dan mengukur segala sesuatu dengan benda. Apabila ia melihat seorang miskin atau orang yang kurang mampu, penghargaannya kepada orang itu berkurang, bahkan kadang-kadang sikap dan perbuatannya akan menyebabkan orang-orang yang kurang itu merasa hina.

Dalam hal ini Prof. Hamka mengulas dengan katanya:

“Agamalah sebab bahagia diri dan bahagia masyarakat, menegakkan pergaulan hidup atas asas perdamaian dan kecintaan. Iaitu agama yang tidak bercampur dengan khurafat dan bid’ah manusia untuk mencapai bahagia dunia dan akhirat, untuk kesentosaan perikemanusiaan.”

Antara Kandungan Islam

Islam adalah satu-satunya agama yang mendorong kemajuan di dalam hal kebendaan dan kerohanian (fikiran, perasaan dan keindahan). Ia mengangkat kebudayaan manusia kepada sopan santun, kasih sayang, berani, berilmu dan bersusila. Ia menghapuskan pagar-pagar gulungan, kelas, warna kulit, keturunan, kelahiran dan juga kepercayaan. Ia sentiasa mendidik dan mengajar manusia dalam segenap masa dan zaman agar berkekalanlah sifat fitrah manusia yang asli, makhluk sosial yang bersusila.

Allah s.w.t. sebagai Pencipta Alam ini sudah tentu lebih mengetahui kehendak dan penyesuaian yang sesuai dilakukan terhadap makhluk. Oleh itu segala kejadiannya tidak perlu kita bantah atau membangkangnya kerana kesemuanya mengandungi hikmat dan tujuan yang tidak diketahui oleh akal fikiran manusia yang sangat dengkel. Jadi, untuk mencari kebaikan dan kebahagiaan maka caranya ialah dengan mengikut peraturan Allah itu.

Mohd. Nuh Hudawi dalam bukunya “Keimanan” mengulas bahawa Allah Ta’ala yang menciptakan alam ini, tentu dia pulalah yang lebih tahu bagaimana menyusun dan mengatur alam ini agar menjadi baik, walaupun fikiran manusia selalu memikirkan yang lain daripada aturan Allah Ta’ala itu. Oleh kerana Allah Ta’ala yang menjadikan dan mengatur alam ini sudah demikian baiknya, maka yakinlah kita bahawa manusia inipun kalau ingin baik harus menyesuaikan peraturannya dengan aturan atau sunnah Allah.

Keperluan kepada agama tidak dapat dinafikan (walaupun setengah-setengah masyarakat cuba hendak mengenepikan agama) dalam apa keadaan dan masa sekalipun. Masyarakat yang tidak beragama bererti masyarakat itu sudah rosak dalam segala segenap segi dan seterusnya akan membawa kepada kehancuran dan kemunduran sesuatu bangsa. Perbuatan-perbuatan yang tidak senonoh senang sahaja dilakukan tanpa halangan. Kalau mereka berkata perkara itu senang sahaja kerana ada pengawal keselamatan, memang betul ada; tetapi peristiwa yang tidak diingini berlaku di waktu dan masa yang tidak diketahui oleh mereka. Bayangkan sahaja peristiwa yang berlaku hari ini. Perzinaan, pemadat, rompakan dan lain-lain lagi sentiasa berlaku. Apakah pihak keselamatan tidak ada? Apa yang perlu ialah keagamaan, keimanan yang benar dan menginsafi bahawa segala perbuatannya adalah di bawah pengawasan Allah s.w.t.

Bila kita perhatikan dengan teliti keadaan dan keburukan moral pada masyarakat yang telah maju, kita dapat menyaksikan antara lain berjangkitnya kelompok-kelompok remaja (Hippies) yang menuntut kebebasan tanpa batas dalam segala segi kehidupan. Mereka ingin hidup bebas dari segala kongkongan, antara lain dalam pergaulan wanita dan peria, yang seolah-olah kembali ke zaman primitif. Masaalah ini menggelisahkan masyarakat dan juga menggelisahkan mereka sendiri. Mereka hidup dalam kebingungan tanpa pedoman. Ini disebabkan jiwa mereka kosong dari bimbingan agama. Di rumah, orang tuanya tidak mendidik mereka ke arah hidup beragama; di sekolah dipentingkan hanya fikiran dan pengetahuan.

Di mana, zaman apa, apakah kedudukan seseorang itu; buruh kasar, menteri, Raja, agama amat perlu kepada mereka. Material tidak boleh menjamin kebahagiaan. Kereta dan rumah besar tidak dapat mempersembahkan kebahagiaan jiwa, keharmonian hati kalau tidak dilapisi dengan agama.

Kerana, pangkat dan kedudukan tinggi yang dipunyai oleh orang yang tidak beragama atau orang yang tidak mengamalkan agamanya, juga akan membawa kepada kehancuran masyarakat dan tidak akan memberikan kebahagiaan bagi orang itu sendiri. Hal itu disebabkan kerana orang yang tinggi jawatan atau kedudukannya akan menggunakan kedudukan itu untuk mengeruk keuntungan bagi diri sendiri kalau mentalnya

kurang sehat, atau kalau imannya kurang kuat. Jadi pangkat, kedudukan jawatanpun tidak akan membawa kepada kebahagiaan, baik bagi dirinya sendiri mahupun bagi orang banyak, apabila ia tidak beragama atau mengamalkannya. Maka seharusnyalah orang yang menduduki jawatan-jawatan penting dalam masyarakat, pemerintahan, perusahaan dan sebagainya adalah orang-orang yang beragama dan mengamalkan agama itu sebaik-baiknya, supaya masyarakat dapat selamat dari penyelewengan dan penipuan-penipuan halus yang dilakukan oleh orang-orang yang susah untuk diketahui atau dikontrol tindakannya.

Kenapa Beragama oleh ISMAIL KAMUS, B. Is. (Hons) Universiti Kebangsaan Malaysia
Kenapa Beragama oleh ISMAIL KAMUS, B. Is. (Hons) Universiti Kebangsaan Malaysia

Kesimpulan

Akhirnya dapat dibuat kesimpulan bahawa agama itu suatu perkara yang tidak boleh dipisah-kan dari jenis manusia dalam mana keadaan sekalipun. Agamalah yang dapat mengemudikan manusia ke arah dan tujuan yang sempurna. Maksud beragama bukan setakat mengaku ber-agama sahaja tetapi hendaklah diikuti dan ditaati ajaran agama itu supaya dapat dicapai segala matlamat. Iaitu kebahagiaan dunia dan akhirat. Walau bagaimanapun, hanya agama yang benar sahaja yang boleh membawa kepada kebahagiaan itu dan agama yang benar lagi diakui oleh Allah hanyalah Agama Islam.

Maka untuk mengatur masyarakat supaya ber-ada di dalam aman dan sentosa supaya mereka tidak dihinggapi penyakit kebinatangan dan supaya mereka dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat, perlulah dihidupkan sifat-sifat keislaman dan dipraktikkan segala ajaran yang telah diwahyukan Allah kepada RasulNya, Muhammad s.a.w.

Einstien, Sarjana Agong yang amat dikagumi oleh dunia ilmu mengatakan:

“Science without religion is lame, religion without science is “blind”.

Science and Religion, (1941)

What do you think?

Written by Akmal F.

A web dev, designer, tech enthusiast, family car lover, and father, all rolled into one.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Review Jujur: MySports, i-City Park Shah Alam