Backpacker: Phuket - Krabi - Hat Yai

Baru-baru ini saya backpacking ke Phuket bersama seorang kawan.

Akibat teruja dan dan cuai, kami telah menambah satu hari dalam pelan pelancongan kami tanpa sengaja.

…dan menyebabkan tertinggal penerbangan.

Wang simpanan kecemasan kami tak cukup untuk beli tiket penerbangan pulang. Harganya ketika itu mencecah RM300 (beli tiket on-time kan mahal). Lagipun sebahagiannya telah kami gunakan untuk sewa motor dan sewa bilik.

Ini bermakna kami perlu berjimat cermat untuk perjalanan yang belum pasti berapa jam/hari.

#1 Pastikan kad ATM anda telah ‘enable Overseas flag’ SEBELUM ke luar negara.

Rancangan kami untuk ke Malaysia ialah menggunakan bas ke Hat Yai, atas nasihat kawan-kawan backpacker di Malaysia.

Dari hotel Patong, kami menaiki van (kos perjalanan 500 baht satu van) ke Phuket Bus Terminal 2. Disitu ada banyak bas yang akan ke Hat Yai setiap hari.

Perjalanan mengambil masa hampir 1 jam. Kami tiba di terminal bas pada jam 2 petang.

Ketika melancong secara backpacker, sesuatu yang kita kena peka ialah solat selagi sempat. Pejalanan mungkin mengambil masa berjam-jam dan kita mungkin tertinggal waktu solat jika suka bertangguh.

#2 Jangan sengaja lewatkan solat.

Kami solat Zohor di surau terminal bas sebelum melalui 8 jam perjalanan ke Hat Yai.

Tiket bas domestik ke Hat Yai hanya 250 baht seorang. Jika bas ekspress mungkin berharga hampir 500 baht seorang dan hanya mengambil masa 6 jam. Tapi ketika itu kami tak tahu 🙁

9 Jam Perjalanan

Sepanjang di dalam bas, telefon masih di tangan mencari alternatif untuk memasuki sempadan Malaysia.

Berapa tambang bas?

Jam berapa bas bertolak?

Kami tak mahu ada apa-apa yang menangguhkan perjalanan kami kerana wang yang ada sangatlah terhad.

9 jam perjalanan ke Hat Yai, kami tak beli apa-apa makanan.

Bas cuma berhenti di Krabi untuk ke tandas dan mengambil penumpang.

‘Krabi’ yang saya lalu cuma jalan kampung yang pemandangannya tak ubah seperti kampung melayu di utara semenanjung Malaysia. Bukan Krabi di pamplet pelancongan.

Di Phatthalung, bas berhenti untuk makan malam. Kami alas perut dengan mi segera yang dibawa dari Malaysia.

Hat Yai = Lega

Jam 11 malam, kami tiba di stesen bas Hat Yai. Duit untuk penginapan hotel dan tiket bas ke Malaysia sudah kami asingkan. Masih ada bajet untuk menikmati pulut mangga dan udang panggang Hat Yai.

Tapi kami sangat mengantuk. Bandar Hat Yai pun bukan jarak pejalan kaki dari lokasi kami.

Kami jalan-jalan sekitar stesen bas untuk membandingkan harga hotel bajet disitu (ye bukan Trivago).

Satu bilik queen-size bed, 450 baht. Kami tidur dan melupakan hasrat untuk makan.

Esok pagi, selepas bersarapan di kedai makan Kelantan, kami ke tengah bandar (lebih tepat, Centara Hotel) dengan menaiki tuktuk. Disitu ada Bas Konsortium ke Kuala Lumpur. RM60 sekepala.

Bandar Hat Yai hidup di malam hari jadi tiada apa yang menarik untuk kami tengok-tengok. Selepas sejam, bas yang dinanti pun sampai.

Perjalanan ke Kuala Lumpur mengambil masa 8 jam.

Terima kasih kepada geng backpacker yang membantu kami sepanjang detik-detik cemas. Terima kasih kepada yang mendoakan.

Insyaallah saya kongsikan lagi apa-apa yang bermanfaat sepanjang percutian saya 🙂