Sebagai seorang bapa, saya merasa tekanan membesarkan anak berusia tiga tahun. Apabila kerajaan mengumumkan kelonggaran pembukaan beberapa sektor ekonomi, membuat pilihan untuk anak-anak adalah amat mencabar.
Adakah selamat untuk Fadiah ke taman rekreasi, taman tema, berkelah, atau jalan-jalan di pasaraya seperti dahulu? Adakah pembukaan sektor ekonomi ini kerana kebolehjangkitan COVID-19 yang rendah atau semata-mata menggerakkan ekonomi?
Saya membaca kenyataan Perdana Menteri agar rakyat mempertimbangkan risiko kendiri yang rasional serta bijaksana dalam menghadapi ancaman wabak ini biarpun kerajaan telah membenarkan beberapa bentuk kemudahan.
Fadiah kini sudah berusia tiga tahun. Perkembangan yang paling ketara untuk anak-anak berusia tiga tahun ialah pertuturan dan kemahiran sosial. Kedua-dua ini dipengaruhi oleh interaksi dengan dunia luar.
Kanak-kanak seusia Fadiah kini boleh bercerita tentang kawan-kawan, walaupun ayatnya tidak tersusun baik, dan frasa yang digunakan akan berkembang seiring usianya. Dia boleh berbual atau menjawab sapaan orang asing jika dia meluangkan lebih banyak masa di luar rumah.
Tapi risiko penularan wabak sentiasa ada. Jadi, bapa-bapa di luar sana, buatlah pilihan terbaik untuk keluarga. Bagi saya, tiada sifir mudah menyeimbangkan kesihatan, keselamatan dan keperluan sosial. Setiap keluarga mempunyai keperluan sendiri, pilihan yang betul tidak semestinya mudah.