Pada umumnya tamadun Islam meninggalkan sumbangan dan kesannya yang besar dalam setiap aspek kehidupan dan peradaban manusia. Bagi pengkaji yang jujur dan rasional mereka tidak sanggup menafikan wujudnya pengaruh dan kesan tamadun Islam dalam tamadun barat atau tamadun Eropah. Sebahagian besar sejarawan dan pengkaji barat sendiri mengakui akan keunggulan serta sumbangan tamadun Islam terhadap tamadun barat. Antara mereka ialah Gustave Le Bon (selalu disalahsangka sebagai Gostav Levon) yang pernah menyebut bahawa:
Ahli falsafah Islam ialah orang yang mula-mula mendedahkan kepada dunia tentang penyesuaian antara kebebasan berfikir dan keteguhan beragama.
Gustav Le Bon, La civilisation des Arabes
Ada pula yang menyebut bahawa:
Sumbangan orang-orang Islam terhadap kemajuan ilmu pengetahuan tidak diberikan nilai yang sewajarnya oleh para sejarawan. Kajian-kajian terbaru telah memperlihatkan bahawa ulama’ Islam telah menyebarkan ilmu pengetahuan dalam semua bidang sedangkan Eropah pada ketika itu masih diselubungi oleh kegelapan abad pertengahan.
Pengakuan yang sama telah disuarakan oleh Robert Briffault (selalu disalahsangka sebagai Brefort) yang antara lain katanya;
Tidak ada satu pun aspek pertumbuhan Eropah di mana pengaruh penentu budaya Islam tidak dapat dikesan; tiada yang lebih jelas dan penting daripada asal-usul kuasa yang menjadi daya pembeza kekal dunia moden, dan sumber utama kemenangannya – sains semula jadi dan semangat saintifik.
Robert Briffault. The Making of Humanity. 1919.
Di bawah ini akan dijelaskan serba ringkas pencapaian dan sumbangan tamadun Islam terhadap tamadun manusia.
Dalam Bentuk Ilmiah
Ulama’ dan sarjana Islam telah memberikan sumbangan yang besar dan berkesan terhadap perkembangan ilmu pengetahuan dalam berbagai bidang dan merekalah orang yang bertanggungjawab menyebarkan keseluruh alam. Mereka mendirikan gedung-gedung ilmu pengetahuan, malah universiti yang mula-mula muncul di dunia ini telah didirikan oleh orang-orang Islam pada tahun 245H, di kota Fas. Universiti ini ditempatkan dalam sebuah masjid. Di samping guna untuk beribadat, ia berfungsi sebagai pusat mengajar ilmu agama seperti al-Quran, Hadith, Tafsir dan Fiqh, begitu juga ilmu akademik seperti Geografi dan Falak. Pusat ini dikunjungi oleh pelajar-pelajar dari seluruh dunia dan ia terkenal dengan nama Jami’ah al-Qarawin.
Sarjana Barat telah menegaskan;
Sains adalah sumbangan terpenting tamadun Arab kepada dunia moden; tetapi buahnya lambat masak. Hanya lama selepas budaya Moor tenggelam kembali ke dalam kegelapan, barulah gergasi yang telah dilahirkannya bangkit dengan kekuatannya. Bukan sains sahaja yang telah menghidupkan Eropah kembali. Pengaruh-pengaruh lain yang pelbagai dari tamadun Islam telah menyampaikan sinar pertamanya kepada kehidupan Eropah.
Robert Briffault. The Making of Humanity. 1919.

Kita juga dapati sebahagian besar sarjana-sarjana barat mengakui ketokohan ulama’ dan cendikiawan Islam seperti Ibnu Sina (980-1037M), Ibnu Haitham (965-1039), al-Biruni (937-1048M), al-Kindi (meninggal 873M), al-Baghdadi (1162- 1231M), al-Qazwini (1203-1283M), Ibnu Maskawih (meninggal 1030), Jabir Ibnu Hiyan (776M), al-Jahiz (775-868M) dan lain-lain.
Dalam Bidang Falsafah
Ahli-ahli falsafah Islam telah meninggalkan pengaruh yang mendalam terhadap ahli falsafah barat. Pusat-pusat pengajian pemikiran Islam merupakan sumber utama dalam pembentukan pemikiran barat. Ahli failasuf Islam merupakan orang yang mula-mula cuba menyesuaikan di antara falsafah dengan agama. Ini kerana ahli failasuf Islam pada waktu yang sama adalah tokoh-tokoh agama dan ulama’ yang terkenal. Banyak karya ahli falsafah Islam telah diterjemahkan ke bahasa Eropah sekitar kurun kedua belas dan ketiga belas masehi. Di antara pusat terjemahan yang terkenal pada waktu itu ialah Toledo dan Ballramo. Dari pusat terjemahan tersebut disalurkan pula kepada universiti-universiti Eropah untuk menyebarkan ilmu pengetahuan tersebut.
Di antara karya-karya ahli falsafah Islam yang banyak mendapat perhatian ialah karya Ibnu Sina dan Ibnu Rusyd. Karya Ibnu Sina al-Syifa’ telah meninggalkan pengaruh yang meluas dan mendalam terhadap pemikiran Eropah.
Dalam Bidang Ilmu Sains
Memang tidak diragui bahawa kemunculan agama Islam telah mendorong dan meningkatkan perkembangan ilmu pengetahuan. Hal ini disedari bila wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w, adalah satu saranan ke arah mencari dan meningkatkan ilmu pengetahuan. Terdapat juga kenyataan dalam al-Quran yang menegaskan bahawa tidak sama orang yang berilmu dengan yang tidak berilmu. Begitu juga banyak hadith Rasulullah s.a.w. yang menekankan tentang kelebihan ilmu dan orang yang berilmu. Apabila keadaan negara Islam sudah stabil dan gerakan pembukaannya telah sampai ke sempadan negeri Cina disebelah timor dan di negeri Peranchis disebelah barat, maka ulama’-ulama’ Islam telah menumpukan seluruh perhatian mereka untuk menimba berbagai ilmu pengetahuan daripada negara tersebut. Mereka juga telah menterjemahkan berbagai ilmu pengetahuan dari bahasa Greek, Roman, Parsi dan Hindu ke dalam bahasa Arab.

Kegiatan ini telah dikendalikan oleh berbagai pusat ilmu pengetahuan Islam, di antaranya ialah: Jami’ al-Mansur di Baghdad, Jami’ al-Umawiy di Damsyik, Jami’ al-Azhar di Cairo, Jami’ al-Qairawan di Tunis, Jami’ al-Qurawin di Maghribi, Jami’ Qurtubah di Andalus, Jami’ ol-Kabir di Sansa’, Dar al-Hikmah di Baghdad, Dar al-‘Ilm di Musal, Maktabat Ibn Sawar di Basrah,
Bidang Kaji Bintang (Astronomi)
Di antara ilmu yang menarik minat orang Islam ialah ilmu kaji bintang. Ini kerana didorongkan oleh keperluan orang Islam untuk menunaikan ibadat. Umpamanya dalam menentukan waktu sembahyang, tarikh mula berpuasa, berhari raya dan sebagainya mempunyai kaitan yang rapat dengan perbahasan mengenai matahari, bulan, bintang dan cakrawala yang lain. Ilmu kaji bintang ini tidak sahaja menarik minat para sarjana Islam tetapi juga para khalifah Islam di Baghdad dan Andalus. Di antara mereka ialah Khalifah al-Mansur (754-775M) dan Khalifah Abdul Rahman, Amir Qurtubah di Andalus.
Ahli-ahli kaji bintang Islam pernah melaksanakan pengamatan ilmu perbintangan di beberapa pusat kaji bintang Observatory di Baghdad, Damsyik, Cairo, Qurtubah, Samarqand, Istanbul dan Delhi. Mereka menyediakan daftar-daftar ilmu perbintangan dan carta-carta mengenai bintang. Ahli-ahli kaji bintang Islam pernah menghasilkan kalendar yang lebih tepat daripada kalendar Gregori yang digunakan secara menyeluruh sebelumnya. Di antara tokoh-tokoh astronomi Islam yang terkenal ialah; Yahya Ibnu Mansur, Ali Ibnu Yunus, al-Hasan Ibnu Haitham, Abdul Rahman Ibnu Muhammad Ibnu Ahmad al-Bairuni.
Dalam Bidang Perubatan
Ilmu perubatan merupakan bidang yang paling digemari oleh orang-orang Islam. Pengaji an dalam bidang ini telah muncul pada abad pertama Hijrah. Tokoh-tokoh perubatan Islam telah memberi sumbangan yang besar dalam perkembangan sains perubatan barat untuk beberapa abad lamanya. Karya-karya tokoh perubatan Islam seperti al-Razi dan Ibnu Sina merupakan rujukan asas dalam bidang perubatan di universiti-universiti Eropah. Buku al-Hawi karya al-Razi dan beberapa karya lain kekal selama beberapa abad dan digunakan dengan begitu meluas sebagai rujukan dalam ilmu perubatan.

Bagi karya Ibnu Sina yang terkenal bertajuk al-Qanun Fi al-Tibb pula telah digunakan sepanjang 600 tahun, sejak abad ke 12 hingga ke 17 Masehi sebagai rujukan asas dalam pengajian ilmu perubatan di seluruh universiti Peranchis dan Itali. Pada abad ke 15M buku ini telah dicetak 15 kali dalam bahasa latin dan satu kali dalam bahasa Hebru. Buku ini telah diulang cetak beberapa kali sehingga abad ke-17. Ahli perubatan Islam juga telah mencapai kemajuan yang penting dalam bidang pembedahan. Diantara pakar bedah Islam yang terkenal ialah Abu al-Qasim Khalaf ibnu Abbas yang meninggal dunia pada tahun 1107M, karya beliau dalam bidang ini telah dicetak dalam bahasa Latin pada tahun 1497M.
Ada kemungkinan seorang ahli perubatan Islam iaitu Abdul Latif al-Baghdadi telah menghasilkan sebuah dari buku-buku yang terkenal tentang kencing manis dan cara merawatnya. Al-Zahrawi seorang doktor bedah yang berasal dari Andalus telah menulis “Kitab al-Tasrif” yang berpengaruh bukan sahaja di negara-negara Islam bahkan juga di Eropah dan memberi sumbangan kepada perkembangan kepada ilmu bedah dan mungkin meletakkan asas bagi ilmu bedah moden.
Bidang Geografi Dan Sejarah
Menurut Ernest Renan salah seorang sarjana barat bahawa minat dan kecenderungan orang-orang Islam untuk mengembara merupakan suatu watak mereka yang dapat membantu untuk mengukir lambang kejayaan dalam sejarah tamadun.
Sehingga abad ke 15 dan 16 Masehi tidak ada orang yang telah memberikan sumbangan yang lebih besar melainkan orang-orang Islam. Mereka telah memberi pandangan yang tepat mengenai bumi yang mereka diami dan ini merupakan suatu kemajuan terhadap dunia seluruhnya.
Saudagar-saudagar Islam pula merupakan orang yang mula-mula menjelajah kawasan-kawasan yang jauh dari tanah air mereka. Mereka telah sampai ke negeri Cina, Afrika dan daerah-daerah yang kini terletak dalam kawasan Soviet Union. Salah seorang pengembara Islam yang terkenal ialah al-Mas’udi (meninggal tahun 956M), telah melakukan pengembaraan dalam abad ke 10M, beliau telah menjelajah seluruh dunia Islam dan negara-negara seperti Sri Lanka, Madagaskar dan Zanzibar. Di dalam bukunya Muruj al-Dhahab, beliau telah meng- gambarkan keadaan negara-negara yang telah dilawatinya.
Selain daripada al-Mas’udi, terdapat ramai lagi pengembara Islam yang terkenal seperti Ibnu Haikal al-Bairuni, al-Idrisi (1099M- 1153M), Ibnu Batutah (1304M-1387M) dan sebagainya. Memang diakui kebanyakan pengembara dan pelaut Eropah banyak berpandukan kepada maklumat pengembara-pengembara Islam dan tidak keterlaluan jika tidak kerana panduan seorang ahli pelayaran Islam yang bernama Shihabudin Ahmad ibnu Majid, sudah tentu ahli pelayaran Portugis Vesco De Gama tidak akan sampai dengan mudah ke pantai benua India. De Gama terpegun dengan pengalaman dan pengetahuan Ibnu Majid yang luas tentang kedudukan bintang-bintang yang menjadi panduan dalam pelayaran. Ibnu Majid juga telah memperlihatkan kepadanya peta pelayaran yang menerangkan garis lintang dan garis bujur dunia. Ibnu Majid adalah salah seorang pengembara Islam yang terawal menulis tentang sains samudera. Beliau telah menghasilkan lebih dari 30 buah karya mengenai pelayaran, antara yang terpenting ialah buku al-Fawaid. Buku ini mengandungi maklumat-maklumat penting yang diperlukan oleh ahli pelayaran mengenai Laut Merah, Lautan Hindi dan Laut Cina.
Pengembara Islam juga telah mencipta beberapa alat yang boleh membantu mereka dalam pelayaran, antaranya yang terpenting ialah kompas.
Ahli-ahli geografi Islam juga yang mula-mula mengemukakan teori bahawa bumi ini bulat seperti bola. Teori ini telah disuarakan oleh Ibnu Khardazabah yang meninggal dunia pada tahun 881M. Teori yang sama juga telah disuarakan oleh Ibnu Rustah yang meninggal dunia pada tahun 903M. Kalaulah ilmu ini tidak tersebar di kalangan orang-orang barat maka sudah tentu Colombos akan teragak-agak memulakan pelayarannya menuju ke barat untuk sampai ke benua India dan sudah tentu beliau tidak akan dapat menemui benua Amerika. Bahkan ada pandangan menyebut bahawa orang-orang Islamlah lebih dahulu menemui Amerika sebelum ia dibuka oleh Colombos.
Bidang Pemetaan
Peta berperanan sebagai penunjuk dan pemberi maklumat mengenai sesuatu tempat, bidang ini terlebih dahulu telah dapat diterokai oleh orang-orang Islam. Di antara sarjana Islam yang mula-mula memberikan perhatian dalam bidang ini ialah Muhammad ibnu Musa al-Khawarazmi. Dalam karyanya yang bertajuk “Suwar al-Aqalim,” beliau telah mengemukakan beberapa buah peta tentang bumi ini. Menurut orientalis yang bernama Nalino, beliau menghasilkan sebuah atlas Islam yang pertama untuk dimuatkan dalam bukunya itu.
Pada zaman pemerintahan Khalifah al-Makmun beberapa usaha telah dilakukan untuk membuat peta atau atlas yang diberi nama “al-Surat al-Ma’muniyyat”. Beberapa orang sarjana Islam terlibat dalam mengusahakan atlas ini. Di dalamnya terkandung beberapa maklumat penting mengenai bumi, bintang, daratan, lautan, tempat kediaman dan bandar. Walaupun usaha orang-orang Islam dalam bidang pemetaan ini tidaklah semaju sumbangan mereka dalam bidang geografi, namun orang-orang Islam adalah bertanggungjawab memelihara dan menjaga peta-peta lama. Peta topografi yang diciptakan oleh al-Idrisi pada tahun 1154M, merupakan satu-satunya peta yang penting sebelum abad ke-14 Masehi. Kebanyakan peta-peta yang diusahakan oleh orang-orang Islam boleh menandingi peta-peta yang diusahakan oleh orang-orang barat pada abad pertengahan.
Dalam Bidang Senibina
Kemunculan agama Islam dan perkembangannya telah menyemarakkan pembangunan yang cukup pesat khususnya dalam bidang seni-bina bangunan. Dalam masa yang singkat sahaja telah muncul beberapa buah bandar baru yang didirikan oleh orang-orang Islam. Pada zaman pertengahan Bani Ummaiyyah muncul tidak kurang dari 25 buah bandar baru, di antaranya ialah kota Basrah, Kufah, Fustat, Qairawan dan Wasit. Pada zaman Abbasiyah pula muncul beberapa buah bandar di antaranya ialah Baghdad, Samara, al-Abbasiyyah, Wahran, Fas, Halab, Antakia dan Qurtubah. Semua bandar dan kota ini adalah sebagai tanda pembangunan yang pesat ketika itu. Di bandar-bandar ini pula didirikan masjid, rumah, istana, pasar, rumah mandi, kolam air, klinik, sekolah dan sebagainya.
Kegiatan pembangunan yang telah berlaku di ibu kota Islam yang terkenal pada waktu itu seperti Baghdad, Cairo dan Qurtubah. Kegiatan ini berjalan seiringan dengan kegiatan pertukangan dan perusahaan. Bidang senibina Islam telah menyumbangkan satu corak baru khususnya dalam bidang kesenian yang tidak diketahui sebelum itu. Ini jelas seperti yang terdapat pada bangunan masjid, sekolah, perkuburan dan sebagainya. Di samping itu juga lahir pula bentuk baru dalam seni bina rumah kediaman, istana, rumah mandi, kota dan tembok yang mempunyai satu bentuk unik dan tersendiri.
Senibina Islam telah meninggalkan pengaruh yang besar dalam seni bina Eropah pada kurun pertengahan, pengaruh ini dapat dilihat di daerah utara Spain, Cairo, Baghdad, Istambul dan ibu kota lain yang melambangkan keagungan, kekayaan dan kehalusan seni bina Islam. Seni khat Islam dan corak-corak yang direkabentukkan dengan rapi adalah hasil kesenian Islam yang paling tulin. Seni ini digunakan sebagai unsur perhiasan dalam buku-buku dan bangunan Islam. Seni khat juga telah dikembang ke dalam seni tembikar, barang-barang kemas, barang-barang dari gading, tekstil, duit perak, pingat dan sebagainya. Kebanyakan seni ini berkembang di bandar-bandar, tetapi sebahagiannya turut dihasilkan di kawasan luar bandar dan desa yang terpencil.
Seni Menjilid Buku
Di antara kesenian Islam yang agak penting juga ialah seni menjilid buku. Satu kenyataan yang tidak boleh disangsikan ialah bahawa orang-orang Islam telah mula memperkenalkan perusahaan membuat kertas kepada orang Eropah sejak zaman keagungan Islam lagi. Mereka telah memberi bimbingan dan menimbulkan perhatian orang-orang barat untuk menjilid dan menghiasi buku. Orang-orang barat juga telah mengambil dari orang-orang Islam cara-cara menulis tulisan air emas di atas tulang-tulang buku yang dijilid. Penggunaan tulisan air emas ini digunakan dengan meluaskan sejak kurun yang ke-15.

Perusahaan seni menjilid buku yang dipelopori oleh orang-orang Islam ini membayangkan bahawa mereka bukan sahaja memberikan perhatian dalam bidang ilmu pengetahuan umum sahaja akan tetapi mereka juga memberi perhatian untuk memelihara dan mengawal ilmu pengetahuan tersebut dengan membukukannya. Mereka juga berusaha menjaga dan memelihara buku-buku tersebut supaya dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang

