RM6.50 RM13.00 BELI SEKARANG

Wanita Kuat yang Mendapat Pinjaman Sementara Dari Allah: Maryam Anak Syurga

0

Kita selalu dengar ungkapan yang amat terkenal dalam kalangan masyarakat kita. Kata mereka, wanita mempunyai 9 emosi dan hanya 1 akal, berbanding lelaki yang mempunyai 9 akal dan 1 emosi. Ada banyak tafsiran dan yang paling mungkin diterima akal adalah kerana golongan wanita ini amat mudah tersentuh hatinya, apatah lagi emosi. Lagi-lagi apabila tiba musim tertentu setiap bulan. Mungkin benar mereka ini susah mengawal emosi. Tetapi jika anda melihat seorang ibu sedang tersenyum manis sambil memangku jenazah bayinya, mungkinkah persepsi terhadap wanita akan berubah?

Puan Ruqayyah Farhani. Beliau bukanlah selebriti terkenal tanah air. Beliau juga bukanlah atlet yang berjaya mendapat pingat emas dalam temasya sukan.Tetapi, mengapa beliau boleh dikenali dalam sekelip mata? Kenapa akaun Facebook beliau dihujani dengan beribu mesej peribadi? Mengapa juga status Facebook beliau dikongsi dan mempunyai like yang beratus ribu? Siapakah beliau yang sebenarnya?

Buku ini berjaya disusun dengan baik kronologinya. Anda seolah-olah sedang mengintai ke dalam diari peribadi Puan Ruqayyah. Di awal buku ini, Puan Ruqayyah menceritakan berkenaan kehidupan beliau di Mesir dan bagaimana beliau boleh berkenalan dengan suaminya, Encik Abdullah Mubarak. Beliau juga menceritakan bagaimana cinta mereka boleh berputik serta langkah mereka untuk segera bernikah.

Pada hari revolusi di Mesir, beliau telah ke hospital untuk membuat pemeriksaan dan mereka telah menerima sebuah berita gembira. Doktor mengesahkan beliau hamil dan lebih membuatkan pasangan itu tersenyum gembira ialah khabar daripada doktor yang mengatakan kandungan beliau adalah sepasang kembar. Cabaran menjadi hebat apabila Ruqayyah telah pulang ke Malaysia seorang diri, manakala suaminya tinggal di Mesir kerana masih perlu meneruskan pengajian. Di Malaysia, segala penjagaan diri dilakukan sendiri dan dibantu oleh keluarga. Bayangkan seorang ibu muda yang baru pertama kali mengandung, terpaksa menjaga dirinya sendiri tanpa suami di sisi.

Cerita diteruskan apabila Puan Ruqayyah terpaksa bersalin lebih awal dari tarikh yang dijangka. Meskipun melalui detik yang sangat mendebarkan tanpa sokongan suami di sisi, akhirnya, beliau selamat melahirkan kedua-dua anak kembarnya. Klimaksnya terjadi apabila salah seorang daripada kembar, Maryam Farihah mengalami kompilasi. Hati ibu mana yang tidak sayu melihat anak dalam keadaan bertarung antara hidup dan mati.Meskipun dalam keadaan berpantang, Puan Ruqayyah menggagahkan diri untuk ke hospital bagi membuat pemeriksaan dan melihat keadaan anak-anaknya, terutamanya Maryam. Namun, Allah lebih sayangkan Maryam.

Sewaktu Puan Ruqayyah memandikan jenazah Maryam, beliau tidak dapat menahan diri daripada mengalirkan air mata. Itulah pertama kali beliau memegang anaknya selepas 14 hari dia dilahirkan. Namun, anak itu sudah tidak bernyawa. Tetapi beliau cekalkan hati, meredhai ketentuan Ilahi. Beliau masih mampu tersenyum, sedangkan kematian adalah perpisahan dunia dengan alam akhirat.

Di akhir buku ini juga ada menceritakan catatan daripada sang suami, Encik Abdullah Mubarak. Beliau menceritakan daripada sudut pandang beliau. Betapa beliau amat kagum dan sayang dengan isterinya yang cekal dan tabah. Apa yang lebih sayu adalah, beliau sendiri tidak pernah melihat wajah Maryam secara bersemuka. Hanya gambar yang dicuri-curi ambil oleh isterinya sahaja menjadi kenangan.

Aku melahirkan dua anak dengan satu kematian, sedangkan orang lain melahirkan anak lalu diambil terus oleh Tuhan. Aku melahirkan ketika suami di kejauhan, sedangkan orang lain melahirkan ketika suami bertemu Tuhan.

Maryam Farhani

Membaca buku ini seolah membaca sebuah novel, cuma ia adalah kisah benar yang amat meruntun perasaan pembaca. Pembaca pasti akan tersenyum di beberapa bahagian buku dek beberapa dialog romantis pasangan suami isteri itu. Kisah ini boleh dijadikan iktibar para pembaca. Betapa kasih dan utuhnya hati seorang ibu. Betapa redhanya beliau dengan ketentuan Ilahi. Betapa kasihnya sang suami pada seorang isteri. Betapa kuatnya seorang ibu dalam mengharungi ujian mengandungkan bayi.

Jadi, jika anda sudah selesai membaca buku ini, jangan lupa segera dapatkan ibu anda, ucapkan pada beliau, “Terima kasih kerana lahirkan saya. Saya sayang mak.

Ulasan ditulis oleh Khairul Aswad Khairul Anuar

1 Comment
  1. […] perkara menarik yang disentuh di dalam buku ini seperti bagaimana memilih calon isteri untuk usahawan, bagaimana memilih syarikat dan sektor bisnes, bagaimana memilih rakan kongsi dan […]

Leave a reply

Mvslimah
Logo
Shopping cart