Maszlee Malik, kali pertama saya kenal nama ini dari buku terbitan PTS sembilan tahun yang lalu. Buku yang bertajuk Fikah Luar Negara. Ia sebuah karya yang membahaskan isu-isu fiqh dengan pendekatan yang sesuai untuk konteks kehidupan di luar negara Islam. Dari situ, saya mula perasan akan ketajaman fikirannya.
Kemudian nama yang sama saya temui setiap kali melawat portal PalestinKini.info. Nama beliau tertulis sebagai penaung portal berita tersebut, satu komitmen yang bukan kecil. Ternyata, perjuangan untuk Palestin dan isu-isu kemanusiaan sudah lama sebati dalam dirinya. Nama beliau bukan sahaja terpahat di portal itu, tetapi sering kedengaran dalam bulatan NGO kemanusiaan dan aktivisme, sama ada sebagai penasihat, penceramah jemputan, atau peserta himpunan.
Rakan-rakan dari PAS pada masa itu ada yang tidak selesa mendengar nama beliau, yang selepas lima tahun baru saya fahami, berkaitan isu ummah centric dan ta’addud jamaah. Itu perbahasan dalaman mereka, dan saya tidak berhasrat menghukum.
Pun begitu, Dr. Maszlee Malik yang saya kenali melalui tulisan dan penampilannya ialah seorang ilmuan Islam yang dinamik. Beliau bukan sekadar pensyarah biasa; sebagai Pensyarah Kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kepakarannya dalam bidang Fiqh Siyasah (jurisprudens politik) dan Tadbir Urus Baik (Good Governance) menjadikan analisisnya sentiasa bernas dan relevan. Beliau adalah suara akademik yang tidak terkurung di menara gading, pandai menterjemahkan teori-teori berat menjadi bahasa yang difahami umum.

Fokusnya yang terkedepan dalam isu-isu pendidikan dan pelajar keciciran pula amat jelas. Saya mulai ikuti forum Pedagogi Pendidikan di Kompleks Karangkraf Shah Alam. Beliau hadir sebagai panelis, dan lontaran idenya tentang keperluan untuk merombak sistem pendidikan yang kaku amat menyegarkan. Beliau sering bercakap tentang pendidikan berpusatkan murid, mengurangkan beban guru, dan membawa kegembiraan kembali ke sekolah, idea-idea ini sudah menjadi laungannya jauh sebelum beliau memegang sebarang kuasa.
Saya juga ingat bagaimana beliau dengan selamba dan ceria mengusik KJ dan ramai ahli politik lain ketika menjadi moderator Wacana Sinar. Kelincahannya mengendalikan pentas menunjukkan beliau bukan hanya selesa dengan buku, tetapi juga dengan manusia.
Keluasan ilmu dan pengalaman inilah yang menjadikan beliau menyerlah di pentas politik dan aktivisme. Namun, beliau tidak saya lihat tidak hanya di atas pentas. Saya masih ingat dengan jelas, di himpunan Global March to Jerusalem di Kuala Lumpur, beliau datang bersama-sama keluarga, berjalan bersama lautan manusia lain menyokong kempen yang maha baik itu. Beliau bukan sekadar berteori, tetapi turut turun ke jalanan.
Bagi saya, Dr. Maszlee sebelum memegang jawatan menteri ialah gabungan unik seorang ahli akademik yang prolifik, seorang aktivis kemanusiaan yang konsisten, dan seorang pendidik yang ghairah mahukan perubahan.
Selamat bertugas, Dr. Maszlee.
Semoga semangat dan idea-idea pembaharuan yang dulu dilaungkan di luar sistem dapat direalisasikan di dalam institusi pendidikan Malaysia.

