Isu mengenai Tamadun Islam sejak kebelakangan ini begitu popular dan mendapat perhatian masyarakat, sama ada di kalangan ahli cerdik pandai atau masyarakat umum. Hal ini sudah tentu ada kaitan rapat dengan gejala kebangkitan Islam dalam dekad tujuh dan lapan puluhan ini. Minat dan kesedaran untuk menghayati ajaran Islam semakin ketara sejak tahun-tahun terakhir ini apabila pihak kerajaan melaungkan hasrat untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara.
Beberapa Istilah Tentang “Tamadun”
Mengikut Kamus Dewan, perkataan tamadun bererti “kebudayaan, kemajuan atau peradaban”. Satu lagi perkataan dalam Bahasa Malaysia yang hampir sama pengertiannya dengan perkataan tamadun ialah perkataan peradaban yang membawa erti “kebudayaan, tamadun atau kemajuan (jasmani dan rohani)”.
tamadun: kebudayaan, kemajuan atau peradaban
Dalam bahasa Arab terdapat beberapa perkata an yang digunakan untuk menunjukkan pengertian tamadun ini. Istilah terawal yang digunakan dalam makna tersebut ialah perkataan ‘umran yang diguna kan oleh Ibnu Khaldun, iaitu salah seorang tokoh Islam dalam bidang kajian masyarakat dan sejarah Islam bukunya Kitab al-Ibar wa al-‘Ajam wa al Barbar atau lebih dikenali dengan al-Muqaddimah telah menggunakan istilah umran ketika mem bincangkan tentang sifat masyarakat di kalangan manusia.
Perkataan ‘umran ini adalah kata terbitan dari perkataan ‘amara yang bererti “kawasan tanah atau rumah yang diduduki orang perseorangan atau segolongan penduduk dalam suatu keadaan yang berkembang subur lagi makmur atau dalam keadaan kering tandus, terbiar dan binasa”. Kawasan tanah yang ditanam dengan baik serta sebuah rumah yang terpelihara akan disebut dengan perkataan bunyan.
bunyan: suatu binaan, struktur atau perkara yang berkaitan dengan kerja mendirikan bangunan.
Satu lagi perkataan yang digunakan ialah hadarat. Perkataan ini juga pernah digunakan oleh Ibnu Khaldun dengan erti “kehidupan menetap”. Penulis-penulis Arab moden menggunakan perkataan hadarat yang sama ertinya dengan tamadun. Dari segi bahasa perkataan hadarat bermaksud: “suatu wilayah, daerah, bandar atau kampung dari kawasan tanah yang didiami” ini berlawanan dengan perkataan badw.
Di dalam kurun kedua puluh, muncul pula perkataan madaniyyat yang mula diperkenalkan oleh Farid Wajdi dan Syeikh Muhammad ‘Abduh. Kedua-dua tokoh ini masing-masing menerbitkan buku al-Madaniyyat wa al-Islam (Tamadun dan Islam) dalam tahun 1899, sementara Syeikh Muhamad ‘Abduh pula menghasilkan buku al-Islam wa al-Nasraniyyat ma’a al-‘Ilm wa al-Madaniyyat (Islam dan Kristian Serta Kaitannya Dengan Sains dan Tamadun).
Kemudian muncul pula perkataan tamadun yang mula diperkenalkan oleh Jurji Zidan, seorang penulis kristian yang banyak menulis tentang sejarah Islam dan sastera Arab dalam bukunya Tarikh al-Tamaddun al-Islami (Sejarah Tamadun Islam).
Dalam bahasa Inggeris pula perkataan yang sama dengan tamadun ialah civilization. Perkataan ini diambil daripada bahasa Latin civitas bererti sama dengan tamadun ialah civilization. Perkataan ini diambil daripada bahasa Latin civitas bererti “bandar“. Penggunaan perkataan ini dipopularkan dalam kurun kesembilan belas masehi.
Pengertian Tamadun
Telah dinyatakan bahawa perkataan tamadun adalah sama ertinya dengan madaniyyat dan hadarat dalam bahasa Arab.
Sebenarnya perkataan madaniyah menunjukkan “suatu taraf yang tinggi dalam kehidupan kebendaan sesebuah masyarakat”.
Taraf kehidupan yang dimaksudkan ialah dalam aspek pembangunan, perancangan dan penyusunan bandar seperti penyediaan infrastruktur dalam masyarakat tersebut. Keperluan ini menentukan kemudahan kewangan serta kemampuan untuk berbelanja. Justru itu taraf tamadun sesuatu bangsa bergantung kepada kemampuan sumber-sumber ekonomi dan kekayaan hasil buminya.
Perkataan hadarat pula ialah yang berkaitan dengan pemikiran, moral dan sosial dalam kehidupan sesebuah masyarakat, seperti ilmu pengetahuan, kesusasteraan, kesenian, sistem pemerintah, peraturan moral, adat resam, budi pekerti dan kepercayaan agama.
Daripada penjelasan ini dapatlah dikatakan bahawa pengertian madaniyyah dalam bahasa Arab adalah sama dengan perkataan “tamadun” dalam bahasa Malaysia. Hadarat pula adalah selaras dengan pengertian “peradaban“. Walau bagaimanapun dalam membincang persoalan Tamadun Islam, kita mestilah mencantumkan kedua-dua pengertian tersebut secara menyeluruh kerana ia menyentuh semua bidang kehidupan termasuklah aspek rohani dan jasmani.
Tamadun Islam bukan sahaja terbatas dalam bidang kebendaan seperti pembinaan kota, pertukangan, teknologi, perusahaan, seni bina dan sebagainya, tetapi juga meliputi soal kerohanian seperti aqidah dan moral.
Ciri-Ciri Tamadun Islam
Menyentuh tentang sifat atau ciri-ciri tamadun ini, kita dapati kebanyakan para pengkaji barat menekankan aspek kemajuan kebendaan semata-mata tanpa menghiraukan aspek kerohanian. Di antara ciri-ciri yang dianggap asas kepada sesebuah tamadun ialah terdapatnya kehidupan kota, seni bina (berupa tugu-tugu peringatan) dan sistem rekod pandang lihat berasaskan nota bertulis). Sesetengah pengkaji pula menekankan peri pentingnya tulisan dalam kebangkitan tamadun sesebuah masyarakat. Dengan lain perkataan tamadun tidak boleh wujud tanpa suatu sistem tulisan yang tersusun dan sistem tulisan tidak boleh wujud melainkan dalam sesebuah tamadun.
Ada pula pengkaji yang menyarankan bahawa sesebuah masyarakat yang bertamadun mestilah mempunyai unsur berikut:
- sesebuah bandar yang mempunyai penduduk 5000 orang ke atas,
- bahasa bertulis
- dan mempunyai pusat-pusat upacara peringatan.
Ada pengkaji lain beranggapan bahawa sesuatu masyarakat itu meningkat ke taraf tamadun apabila ia mempunyai bandar-bandar yang mempunyai penumpuan sejumlah besar penduduk, bangunan-bangunan peringatan seumpama gereja, istana-istana yang indah dan tulisan.
Dari keterangan di atas jelaslah bahawa kebanyakan para pengkaji barat membataskan ciri-ciri atau sifat-sifat tamadun itu dalam aspek kemajuan atau aspek pembangunan material semata-mata seperti munculnya kota-kota, rumah-rumah kediaman, bangunan perusahaan, pertukangan dan sebagainya.
Manakala bagi penulis dan sarjana Islam pula ketika membincangkan pengertian tamadun khususnya tamadun Islam mereka tidak membataskan aspek pembangunan atau kemajuan material sahaja. Mereka memberi pengertian yang lebih luas, merangkumi pembangunan rohani dan moral sebagai salah satu ciri penting bagi sesuatu tamadun. Malah menurut mereka, “Islam” itu sendiri merupakan tamadun.
Sebenarnya kalau kita sedari perubahan dan kemajuan yang telah dicetuskan oleh agama Islam di dalam masyarakat Arab, maka sudah tentu tidak dapat disangkal lagi bahawa perubahan dan pembaharuan tersebut merupakan suatu tamadun yang tidak ada tolok bandingnya dalam dunia ini. Perubahan yang paling ketara sekali ialah perkembangan aqidah yang berasaskan iman kepada Allah S.W.T. Tuhan Yang Maha Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya.
Keimanan kepada Allah ini telah membebaskan manusia dari penyembahan berhala dan pemujaan sesama manusia dan sebagainya. Agama Islam telah menyemai ke dalam jiwa orang-orang Islam, bahawa tidak ada yang wajar disembah kecuali Allah S.W.T.
Dalam aspek moral atau akhlak pula kita dapati agama Islam telah mencapai ke tahap yang membanggakan. Antara lain dengan mewujudkan sifat persaudaraan, kasih sayang, hormat-menghormati tolong-menolong, bertolak ansur, menghormati jiran, jujur, adil, bertimbang rasa dan sebagainya yang telah membantu mewujudkan sesebuah masyarakat yang harmoni dan stabil. Ini sudah tentu merupakan suatu aspek yang penting dalam “tamadun” yang dicetuskan oleh agama Islam.
Pada umumnya agama Islam dikenali sebagai agama yang bercirikan tamadun manusia yang lengkap. Hakikat ini berdasarkan kepada penglibatannya secara langsung dalam pendidikan mengenai ummah agar sentiasa menghargai kebebasan berfikir, kehormatan individu, pencapaian keilmuan, pengaturan sistem hidup, keadilan sosial dan persamaan di antara manusia. Semua itu melalui konsep persaudaraan yang tulin, keadilan yang total, nilai kerohanian yang unggul, keluhuran budi dan nilai-nilai moral yang tinggi.[vc_message color=”info”]Dipetik dari Sumbangan Tamadun Islam Terhadap Tamadun Manusia (1988) tulisan Prof. Madya Osman Haji Khalid[/vc_message]