Tidak banyak panduan yang jujur untuk bakal bapa menyambut kelahiran anak pertama. Ramai yang tidak tahu, bahawa selepas isteri mula mengalami contraction, si bapa mungkin akan menunggu dari satu jam hingga ke 13 jam, atau mungkin lebih, untuk menanti saat kelahiran.
Saya sendiri menunggu lebih 10 jam sebelum dipanggil masuk menemani isteri di dalam dewan bersalin. Fasa menunggu ini menguji kesabaran, tetapi ia adalah sebahagian daripada perjuangan. Ini adalah panduan realistik untuk anda, wahai para bapa.
Fasa Menunggu di Hospital, Apa Patut Bapa Buat?
Apabila isteri sudah dimasukkan ke wad atau dewan bersalin, peranan anda sebagai suami sangat kritikal. Gunakan masa menunggu ini untuk:
- Beri Sokongan Emosi. Jadi penenang untuk isteri. Urut belakangnya, pimpin tangannya, dan beri kata-kata semangat.
- Jadi Orang Tengah. Andalah yang akan berhubung dengan ahli keluarga di luar. Kemas kini keadaan isteri dan elakkan isteri diganggu dengan panggilan telefon yang banyak.
- Sediakan Keperluan. Pastikan beg hospital isteri dan bayi mudah dicapai.
Detik Ajaib di Dewan Bersalin, Peranan Anda Sejurus Bayi Lahir
Jika anda berpeluang menemani isteri, anda akan menyaksikan momen paling luar biasa. Bayi yang dikandung sembilan bulan akan keluar dari rahim isteri anda, masih bersambung dengan tali pusat. Tahniah, anda kini seorang bapa!
Sentuhan Kulit ke Kulit (Skin-to-skin)
Jururawat akan membersihkan bayi, mengepit tali pusat, dan meletakkannya di dada si ibu. Momen ini sangat penting untuk membina ikatan (bonding) pertama dan menenangkan bayi.
Sunnah Pertama, Mengazankan Si Manja
Bagi yang beragama Islam, inilah tanggungjawab pertama anda. Perlahan-lahan, laungkan azan di telinga kanan bayi. Inilah kalimah tauhid pertama yang akan didengarinya.
Selain mengazankan bayi, terdapat beberapa lagi amalan sunnah penting yang dianjurkan untuk menyambut si manja. Untuk panduan yang lebih terperinci mengenai aqiqah, tahnik, dan mencukur rambut, anda boleh membaca artikel kami di sini: Khatan, Bercukur dan Tuntutan Sunnah Buat Bakal Bapa.
Penilaian Kesihatan Bayi
Selepas itu, doktor akan membuat penilaian kesihatan bayi (ujian APGAR). Pada waktu ini, si ayah biasanya diminta untuk keluar sebentar sementara isteri dan bayi diuruskan. Jangan risau, anda akan bersama mereka semula di dalam wad.
Senarai Semak Penting, Barang Wajib Bapa Bawa ke Wad
Yang ini bakal bapa selalu ambil ringan, tetapi sangat penting. Selepas isteri dipindahkan ke wad, inilah masanya untuk anda memainkan peranan. Pastikan “beg ayah” atau beg bayi sudah lengkap dengan barang-barang ini.
Kelengkapan Untuk Bayi
- Lampin pakai buang saiz bayi baru lahir (newborn).
- Tisu basah (wet wipes).
- Beberapa pasang baju, sarung tangan & kaki.
- Kain bedung atau selimut.
Keperluan Untuk Ibu
- Tuala wanita (maternity pad).
- Pakaian yang selesa untuk menyusu.
- Stokin tebal.
- Snek dan minuman untuk menambah tenaga.
Dokumen Penting (Pastikan dalam satu fail)
- Kad pengenalan anda dan isteri.
- Sijil nikah (untuk pendaftaran nama anak).
- Buku Rekod Kesihatan Ibu dan Anak (buku pink/biru). Pastikan buku ini sentiasa ada bersama anda kerana ia sangat penting!
Proses di Wad & Bila Boleh Pulang?
Semasa di wad, jururawat akan memantau kesihatan ibu dan bayi. Bayi akan diperiksa untuk penyakit kuning (jaundice). Jangan panik, ini adalah perkara biasa. Anda juga akan diajar cara menguruskan bayi seperti menyusu dan menukar lampin.
Bagi Kelahiran Normal (Vaginal Delivery)
Anda biasanya dibenarkan pulang dalam tempoh 24 hingga 48 jam (1-2 hari) jika tiada komplikasi.
Bagi Pembedahan Caesarean (C-section)
Anda mungkin perlu tinggal lebih lama, selalunya dalam 3 hingga 4 hari, bergantung pada tahap pemulihan si ibu.
Bermulanya Rutin Baru, Temujanji Kesihatan Ibu & Bayi (KKM)
Ulang-alik ke klinik atau hospital adalah rutin biasa selepas dapat cahaya mata. Semua temujanji ini akan direkodkan dalam buku pink/biru. Secara amnya, jadual pemeriksaan mengikut garis panduan KKM adalah seperti berikut.
- Jadual Pemeriksaan Bayi
- Minggu Pertama. Pemeriksaan susulan untuk jaundice dan berat badan. Jika bacaan jaundice tinggi, temujanji akan lebih kerap.
- Usia 1 Bulan. Pemeriksaan tumbesaran dan suntikan vaksin pertama (BCG, Hepatitis B).
- Usia 2 Bulan & Seterusnya. Suntikan vaksin mengikut jadual.
- Jadual Pemeriksaan Ibu
- Minggu Pertama. Pemeriksaan jahitan dan kesihatan am.
- Selepas 6 Minggu. Pemeriksaan selepas bersalin (postnatal check-up) untuk memastikan ibu pulih sepenuhnya.
Selamat menempuh alam keibubapaan. Peranan anda sebagai bapa bukan sekadar penyokong, tetapi rakan kongsi utama dalam perjalanan yang indah ini. Bersedialah!

