Penjelasan Tentang Al-quran, Hadith dan Akidah:Fatwa Kontemporari

Sebuah naskhah soal jawab fatwa yang informatif. Persoalan berkaitan al-Quran, hadith, dasar Islam, akidah dan perkara ghaib diterangkan dengan jelas. Naskhah fatwa kontemporari ini tidak seperti kebanyakkan buku-buku fatwa yang hanya menceritakan halal dan haram sesuatu perkara. Ia disertakan juga dengan penjelasan yang padat tentang sesuatu persoalan serta nas-nas al-Quran dan hadith yang menyokong setiap penerangan.

Sheikh Dr. Yusuf memberi bukan sahaja jawapan kepada soalan yang dimajukan, tetapi beliau menerangkan dahulu perkara paling utama yang perlu difahami oleh seseorang sebelum beliau memberikan fatwanya. Ini menjadikan kita berpengetahuan secara keseluruhan berbanding separuh bahagian.

Soalan-soalan di dalam buku ini tidak remeh. Soalannya sahaja menyebabkan minda kita tersedar. Oleh kerana ia datang dari pelbagai negara, isunya juga bervariasi. Inilah yang membantu kita mempersiapkan diri jikalau ada yang mengutarakan soalan yang sama kepada kita. Di samping itu, pemikiran kita menjadi lebih luas kerana terdedah dengan isu yang universal.

Menariknya naskhah ini adalah kerana penjelasannya. Seperti contoh soalan tentang dakwaan tarikh hari kiamat. Sheikh Dr. Yusuf tidak menyangkal dakwaan tersebut dengan mendadak tetapi beliau menghuraikan satu persatu supaya kita mudah faham dan beliau menjaga sensitiviti individu yang membuat dakwaan itu.

Buku ini mendidik kita menjadi manusia yang sederhana dan dalam masa yang sama memelihara kesucian agama. Saidina Umar r.a pernah ditanya tentang beliau memberikan fatwa berbeza dari sebelumnya dan beliau menjawab: ‘Perkara itu berdasarkan ilmu kita yang terdahulu. Sekarang pandangan kita berdasarkan pengetahuan kita yang baru.’ Jadi, tiada alasan bagi kita yang biasa ini untuk tidak memperbaharui ilmu yang sedia ada‘.


Alhamdulillah, penantian yang panjang ini bernoktah jua. Fatawa Muasirah yang terkenal ini akhirnya boleh didapati dalam bahasa Melayu.

Bagi individu yang tidak mampu memahami teks bahasa Arab, penterjemahan ini merupakan sesuatu yang sangat bermakna dalam kehidupan sebagai seorang Muslim.

Karya ulama terkenal ini sebenarnya merupakan himpunan soalan serta pertanyaan oleh penonton dan pendengar sebuah rancangan televisyen dan radio di Qatar.

Rancangan Hady Al-Islam dan Nur Wa Hidayah ini telah mengumpulkan pelbagai persoalan yang berlegar dalam kalangan umat Islam pada hari ini.

Dalam menjawab persoalan-persoalan ini, antara pendekatan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi adalah prinsip bersederhana di antara sikap memudahkan dan bertegas selain tidak taksub dan tidak bertaklid buta.

Di sini, setiap hujah yang dikeluarkan disokong oleh pegangan utama kita semua iaitu Al-Quran dan hadith.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga sangat mendukung penggunaan bahasa moden yang bersesuaian dengan tahap pemikiran masyarakat.

Bagi aspek ini, ia adalah suatu usaha yang sangat murni kerana bahasa yang terlalu tinggi mampu mengundang kesusahan kepada pembaca selain menyebabkan mereka jauh hati.

Bukan itu sahaja, soalan yang dimuatkan juga merupakan kumpulan soalan yang sering bermain dalam kalangan masyarakat Muslim di seluruh dunia.

Antaranya adalah isu hadith yang menyentuh berkenaan penyerahan tugas kepada kaum wanita adalah tidak digalakkan dan juga fenomena kafir-mengkafir secara melampau.

Bagi isu yang jarang didengar pula, ada juga disentuh berkenaan ayat Al-Quran tentang mata air yang hitam berlumpur dalam kisah Zulkarnain pada ayat ke-86 dari surah Al-Kahfi.

Tidak kurang juga kupasan yang diberi oleh penulis dalam hadith yang menyebut tentang seksaan keatas mayat yang diratapi oleh ahli keluarganya yang masih hidup.

Begitulah sedikit sebanyak yang disingkap dari kitab berharga ini.

Ia akan menemui pembaca dalam empat jilid utama dengan harapan untuk tampil ringkas namun padat dan tidak membebankan mereka yang ingin meneguk ilmu dari lautan ulama dunia yang terkemuka ini.

MashaAllah, lihat sahaja bagaimana beliau berusaha untuk memudahkan urusan agama kita semua.

Tepuk dada dan tanyakan pada iman di hati, bagaimana pula dengan usaha diri kita sendiri

Ulasan disediakan oleh Adzkia Amanah Ugi Suharto
Buku Fatwa Kontemporari (Jilid 2, Siri 1)

Tanpa terikat pada silibus buku-buku agama, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menjawab persoalan semasa yang mencabar praktik ajaran Islam dalam dunia moden , khususnya berkaitan Al-Quran, hadith, dan akidah.

RM25.20 RM28.00

Penjelasan Tentang Al-quran, Hadith dan Akidah:Fatwa Kontemporari
Pertanyaan atau Komen?

      Komen?

      Kedai Buku Online