RM17.00 RM20.00 BELI SEKARANG

Hadis Tidak Sahih yang Terkenal: 40 Kisah Palsu Tetapi Masyhur

0

Kita sedia maklum, empat sumber utama dalam menentukan sesuatu hukum dalam Islam yang telah disepakati adalah Al-Quran, sunnah & hadis, ijmak ulama dan qiyas. Al-Quran ialah wahyu yang diturunkan daripada Allah melalui malaikat Jibril. Sunnah & hadis adalah perkara-perkara yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. Ijmak ulama pula ialah kesepakatan para ulama dalam menentukan hukum, manakala qiyas ialah menyamakan atau memadankan sesuatu hukum dengan hukum yang sedia ada.Islam adalah agama yang ilmiah di mana ia mementingkan fakta dan hujah. Setiap perkara, amalan, ataupun ajaran dan cerita yang disandarkan kepada Islam wajib dirujuk kepada Al-Quran atau hadis-hadis Nabi Muhammad SAW. Namun, di zaman ini, sudah banyak golongan-golongan pemalsu hadis yang mencipta hadis-hadis palsu yang digembar-gemburkan sebagai benar. Ini bercanggah dengan ajaran Islam dan mungkin akan mendorong kepada pemeseongan akidah umat.

Buku 40 Hadis Palsu Tapi Masyhur yang ditulis oleh Mustafar Mohd Suki ini akan menyentuh empat puluh jenis hadis yang amat terkenal terutamanya di Malaysia. Siapa sangka, hadis-hadis atau cerita-cerita yang pernah diceritakan kepada kita sewaktu kita masih dibangku sekolah, ada antaranya adalah hadis yang palsu!


Kisah ini bukan sekadar penyedap bicara. Jikalau benarnya tiada, maka dongeng nilainya lantas hilang hikmahnya. Jikalau kebetulan betulpun dianggap salah, apatah lagi yang tidak benar terutama berkaitan manusia. Buku ini wajib dibaca oleh pendakwah, motivator, penceramah, pendidik, ibubapa, mahupun sesiapa sahaja supaya dapat kita betulkan yang biasa dan biasakan yang betul.

Ustaz Ahmad Husni bin Abdul Rahman

Antaranya ialah kisah sahabat nabi yang soleh, Abdul Rahman Bin Auf. Semua sedia maklum beliau adalah antara sahabat nabi yang kaya dan telah menginfakkan hartanya ke jalan Allah. Namun, kita diceritakan yang walaupun beliau mempunyai amalan baik yang begitu, beliau sendiri merangkak masuk ke syurga. Apatah lagi kita hamba Allah yang hina lagi sering melakukan dosa. Apakah cara kita masuk ke syurga kelak? Adakah meniarap, berguling atau bagaimana?

Hadis payung emas untuk para wanita yang membenarkan suaminya berpoligami juga sering kita dengar dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Malah, itu dijadikan modal para suami untuk memujuk si isteri untuk membenarkan dia berkahwin satu lagi. Tetapi tenanglah wahai para isteri, hadis itu dikatakan palsu. Memang berkahwin lebih daripada satu itu sunnah Nabi Muhammad SAW, namun tiada hadis sahih yang membenarkan perihal payung emas kepada wanita.

Seperkara lagi ialah kisah telaga zam-zam yang kononnya terhasil daripada hentakan kaki Nabi Ismail a.s yang menangis meronta kerana kehausan. Di dalam buku ini, penulis memberikan pelbagai bukti dan hujah untuk menyangkal kisah tersebut. Dikatakan sebenarnya mata air zam-zam itu terjadi akibat hentakan sayap malaikat Jibril, bukannya kaki Nabi Ismail a.s.

Ada pelbagai lagi kisah, hadis dan cerita yang memang sudah lali di telinga kita. Malah ustaz dan ustazah juga sering menceritakan perkara yang sama. Antara lain lagi ialah bahasa penduduk syurga ialah bahasa Arab, cincin Nabi Sulaiman, Hindun memamah hati Saidina Hamzah r.a, Al-Qamah yang derhaka kepada ibunya, beberapa fadilat solat terawih dan macam-macam lagi.

Penulis menyusun buku ini dengan baik. Setiap hadis yang dinyatakan palsu, penulis mengemukakan beberapa hujah dan bukti untuk menyangkal hadis yang sudah tersebar luas di negara kita ini. Malah, kisah dan hadis yang dipilih juga merupakan hadis-hadis terkenal yang kita sudah dengar sejak kecil.

Jadi, tidak rugi anda mendapatkan buku ini kerana ia adalah ilmu, lagi-lagi apabila ia bersangkut-paut dengan sumber rujukan hukum dalam Islam.

Ulasan ditulis oleh Khairul Aswad Khairul Anuar
3 Comments
  1. Buku ni dah disahkan betul ke?

    • Buku ini disyorkan oleh Ustaz Ahmad Husni (Ijazah Sarjana Syariah):

      “Buku ini wajib dibaca oleh pendakwah, motivator, penceramah, pendidik, ibubapa, mahupun sesiapa sahaja supaya dapat kita betulkan yang biasa dan biasakan yang betul.”

      Kata pengantar buku ini pula ditulis oleh Dr. Rozaimi (PhD Hadis):

      “Semoga buku ini dapat membantu masyarakat awam khususnya, bagi mengenali cerita-cerita palsu yang disandarkan kepada agama, dan seterusnya menjadikan kita lebih berhati-hati dalam menyandarkan sesuatu kepada kepada Nabi Muhammad s.a.w.”

  2. Camna nak order buku ni tuan? 0196569022

Leave a reply

Mvslimah
Logo
Shopping cart