Risalah Pemuda Muslim

“Bermusafir­lah wahai para pemuda Muslim!”

Kebanyakan perbincangan dalam buku “RISALAH PEMUDA MUSLIM” ini, mendukung beberapa tema utama, iaitu:

  • Pemuda Muslim yang progresif.
  • Pemuda sebagai ejen perubah.
  • “Politik warga” (citizen politic) yang tidak terikat dengan kerangka politik kepartian (partisan politic) yang lazimnya dianuti oleh kebanyakan rakyat Malaysia.
  • Pemugaran fikrah yang kritis dan analitikal.
  • Meraikan tajdid dan islah.

Penulis membawa para pembaca meneroka gaya pemikiran beliau, sebagai seorang Islam yang versatile (serba boleh), berjiwa merdeka, berfikiran terbuka, bersikap progre­if dan bermentaliti kritikal.

Pada bahagian pertama buku ini, penulis menghuraikan tentang pandangan sarwa (worldview) Islam yang menjadi perkara pokok kepada setiap muslim dalam kehidupan. Mendalami Islam dari sudut tauhid, ibadat dan akhlak adalah asas kehidupan seorang muslim. Tidak dinafikan individu muslim adalah maratib yang sangat penting sebelum melangkah ke maratib-maratib yang seterusnya.

Bahagian seterusnya penulis mengemukakan idea tajdid (pembaharuan) dalam kalangan umat Islam. Adalah penting seorang muslim untuk memahami bahawa tajdid dari sudut Islam tidaklah sama dengan reform dari sudut pandangan barat. Kesimpulan yang dibuat penulis, tajdid ialah satu proses pembaikan ataupun satu perubahan yang bertujuan membawa kehidupan kembali kepada keaslian Islam yang utuh. Maksudnya, tajdid ialah berkaitan usaha mengembalikan sikap dan pengamatan umat Islam kepada ajaran Islam itu sendiri dan bukannya menggantikan Islam dengan ajaran baharu kerana tidak sesuai dengan zaman (Mengikut pemahaman barat, reform lebih membawa unsur membuang segala yang lama dan menggantikan dengan sesuatu yang baru.)

Bahagian Pemuda dan Perubahan menerangkan peranan seorang pemuda muslim dalam menjadi agen perubahan/ tajdid. Pembaca didedahkan dengan kepentingan untuk terjun dalam lapangan masyarakat kerana politik dan keterlibatan politik adalah satu kewajipan bagi setiap insan (tidak semestinya politik kepartian tetapi yang lebih penting ialah politik warga/ citizen politik). Peranan intelektual juga penting bagi mencorak pemikiran masyarakat.

Perbincangan dilanjutkan kepada bab Politik dan Perubahan, kemudian bab Pemuda dan Gerakan Islam, bab-bab terakhir yang saya gemari dalam buku ini. Perbincangan dalam kedua-dua bab ini memberi pencerahan khususnya kepada pendokong gerakan Islam dalam menghadapi realiti semasa. Penulis banyak mengetengahkan idea Rachid al Ghannouchi dalam pembangunan sesebuah negara. Sedikit sebanyak otak ini ‘bekerja’ untuk ‘agree to disagree.’

Bab terakhir saya kira adalah rumusan terhadap beberapa perkara yang lebih kepada pembinaan individu muslim yang hebat. Saya kira artikel-artikel yang ada dalam buku ini sudah ditulis beberapa tahun lepas tetapi disusun cantik dalam satu buku yang jelas objektifnya. Biarlah kita berbeza pandangan dengan penulis, tetapi perlu juga untuk kita kutip ilmu dan pengalaman yang ada padanya sebagai bekalan menghadapi hari-hari akan datang. Terima kasih buat sahabat yang mencadangkan bacaan ini.

Ammar Ibnu Ziyadi
Buku Risalah Pemuda Muslim

Penulis membawa para pembaca meneroka gaya pemikiran beliau, sebagai seorang Islam yang versatile (serba boleh), berjiwa merdeka, berfikiran terbuka, bersikap progre­if dan bermentaliti kritikal.

RM26.00

Risalah Pemuda Muslim
Pertanyaan atau Komen?

      Komen?

      Kedai Buku Online