Kedatangan Saudara Baru yang Dialu-alukan: Baby Muslimah

Terpegun, terpana, terpesona, dan terkesima dengan bait-bait kata ‘Baby Muslimah’ ini. Raisyyah Rania Yeap (RaRa) atau sebelum ini dikenali dengan nama Felexia Yeap, kembali dengan buku kedua yang menghidangkan kisah-kisah pasca beliau kembali kepada fitrah. Gadis berbangsa Cina yang sangat anggun berpakaian menutup aurat. Suatu kewajipan sebagai Muslim yang begitu dititikberatkan.

RaRa yang memeluk Islam tanggal 5 Ramadan 1435H, mula terpikat dengan Islam kerana selesa mengenakan hijab. Beliau ada mengungkapkan, ‘kalaulah benda begitu mudah, sehelai kain di atas kepala pun mampu beri saya ketenangan, bagaimana pula dengan seluruh ajarannya?’ Di ambang populariti sebagai model bersinar cerah, beliau dengan berkat hidayah Allah memilih Islam menjadi pegangan hidupnya.

Islam agama positif. Menjadi Muslim harus positif. Rasulullah s.a.w bersabda:

Sungguh menakjubkan keadaan orang yang beriman, kerana semua perkara adalah baik baginya, dan itu tidak terjadi kepada sesiapa pun kecuali kepada orang yang beriman. Jika dia mendapat nikmat, dia bersyukur, maka itu baik baginya.Jika dia ditimpa musibah, dia bersabar, maka itu pun baik baginya.

Hadis Riwayat Muslim

RaRa juga memberi motivasi untuk sentiasa berfikiran positif. Apa sahaja yang menimpa beliau, diterima dengan berlapang dada. Malah beliau sentiasa berdoa agar terhindar daripada orang yang berprasangka buruk dan menabur fitnah. Nikmat doa digunakan beliau sebagai senjata untuk menempuh hidup bergelar saudara baru.

Dakwah tidak terhad kepada tugas para ulama sahaja. Ia tugas semua jiwa yang mengucap dua kalimah syahadah. RaRa menjadikan dakwah sebagai asas untuk berhubung dengan manusia lain.

Beliau tidak malu berdakwah melalui pemakaian kerana beliau yakin ia adalah tindakan yang benar. Walaupun ilmu tentang Islam masih sedikit tetapi kerana keseronokan beliau menikmati Islam, beliau kongsikan dengan masyarakat. Umpama kita makan sesuatu yang sedap. Selepas itu mesti kita khabarkan kepada orang terdekat untuk mereka mencuba makanan itu.

Naskah ini walaupun ditulis oleh ‘Baby Muslimah’ namun ia penuh dengan pengajaran. Kadang-kadang kita sebagai Muslim azali mengambil ringan soal solat, aurat, dakwah, dan hubungan sesama masyarakat. Penulisan RaRa boleh dikatakan sebagai pembuka mata untuk kita terus melestarikan hidup bergelar seorang Muslim.

Ia sebagai amaran untuk tidak mengambil enteng ajaran Islam kerana Islam adalah satu rahmat yang dilimpahkan oleh Allah kepada orang-orang terpilih.

Ulasan disediakan oleh Noor Hidaya Arshad
Buku Baby Muslimah

5 Ramadan, 1436 hijrah. Hari yang cukup luar biasa. Tarikh kelahiran saya. Tetapi pada detik ini, saya tidak lagi bangun sebagai Felixia. Namun, kini saya bangkit sebagai RaRa. Raisyyah Rania. Dan inilah kisah saya selepas 'kelahiran semula'.

RM13.50 RM15.00

Pertanyaan atau Komen?

      Komen?

      Kedai Buku Online