Hiburan Juga Ibadah: Komik Tazkirah Tok Guru

Selalunya, bila kita membaca komik, kita pasti akan tergelak guling-guling kerana isi dan dialognya yang seperti menggeletek ketiak kita.

Ada juga yang sampai terlalu obses sehingga terlalu percayakan watak ciptaan dalam komik.

Kita lihat saja betapa ramai kanak-kanak amnya yang pujakan adiwira Hollywood sehingga menangis-nangis kalau tidak mendapat figura kegemaran mereka.

Di Malaysia pula, industri komiknya masih lagi sedang berkembang. Namun, kartun-kartun komik daripada negara Jepun masih lagi memonopoli industri komik kita seperti Doraemon, Shin Chan, Detektif Conan dan lain-lain.

Tapi, pernahkah kita terjumpa sebuah hasil karya komik yang boleh membuatkan kita lebih dekat dengan Allah? Membuatkan kita terkenangkan dosa-dosa yang pernah kita buat?

PTS kini berjaya menerbitkan sebuah komik yang sebegitu. Siapa tidak kenal dengan ulama agung, arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz yang telah menghadap Sang Pencipta beberapa bulan lepas?

Beliau terkenal dengan sifat lemah-lembut apabila bertutur dan tegas dalam menegakkan syiar Islam.

Oleh sebab itu beliau begitu disanjungi oleh rakyat jelata. Kartunis Athool telah mendapat ilham untuk mengumpulkan bait-bait tazkirah beliau dan menjadikannya dalam bentuk komik bagi memudahkan pembacaan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Kita tak boleh pertikaikan hasil lukisan saudara Athool yang sememangnya kemas dan menarik di pandangan.

Lukisannya bersesuaian dengan nasihat-nasihat yang disampaikan. Kadang-kadang, kita tidak boleh memahami secara tepat makna bait tazkirah, tetapi dengan bantuan lukisan komik, pemahaman itu menjadi lebih senang.

Tazkirah dan nasihat yang ada di dalam komik ini terasa begitu dekat dengan kita terutamanya bagaimana kita selalu lalai dalam mengerjakan perintah Allah.

Bagaimana manusia lebih mengutamakan dunia daripada akhirat. Bagaimana seorang anak lupakan jasa baik ibu-bapanya. Bagaimana manusia lupa kita semakin menghampiri kematian dan kiamat.

Semoga dengan pembacaan komik tazkirah ini, kita akan menjadi seorang mukmin yang lebih hebat dan dikurniakan hadiah syurga di akhirat kelak.

Al-Fatihah untuk almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ulasan ditulis oleh Khairul Aswad Khairul Anuar
Buku Komik Tazkirah Tok Guru

Himpunan petikan tazkirah dan kata-kata hikmat Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang diadaptasi dan diilustrasikan dalam bentuk komik. Santai dan menyegarkan.

RM11.61 RM12.90

Pertanyaan atau Komen?

      Komen?

      Kedai Buku Online