Ringkasan: Hukum Mengucapkan Merry Christmas

Hukum mengucapkan Merry Christmas adalah HARUS dengan lima garis panduan yang dinyatakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli :

  1. Diharuskan untuk mengucapkan Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk, kaum keluarga yang memiliki anggota Islam dan bukan Islam, kejiranan dan rakan sekerja. Sekiranya tidak ada keperluan seperti yang disebutkan, kami cenderung kepada makruhnya ucapan tersebut kerana ia boleh menimbulkan fitnah atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.
  2. Penyertaan orang Islam dalam majlis sambutan Krismas hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau bergambar. Adapun memakai pakaian tertentu yang lazim dipakai semasa sambutan Krismas, kami melihat tidak ada keperluannya dan tidak boleh dilakukan.
  3. Ucapan tersebut hanya sebagai tanda menjaga hubungan baik, tiada paksaan dalam agama dan tidak bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain.
  4. Dibolehkan untuk menerima atau memberi hadiah kerana:
    • Rasulullah SAW sendiri pernah menerima hadiah daripada Raja al-Muqawqis yang tidak beragama Islam.
    • Saidina Umar juga pernah menghadiahkan baju kepada saudaranya yang bukan Muslim. Ia ada terdapat dalam hadis yang panjang dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim. Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan: “Dibolehkan seorang Muslim menghadiahkan orang Musyrik pakaian dan selainnya.
      • Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/38. Diharamkan untuk memberi hadiah berupa arak dan perkara yang tidak diizinkan syarak. Kami telah mengulas hukum menghadiahkan arak kepada non Muslim di sini [http://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2653-al-kafi-838-hukum-menghadiahkan-arak-kepada-non-muslim].
      • Namun tidak boleh diniatkan pemberian itu sempena perayaan mereka, untuk mengeluarkan diri daripada larangan memberi hadiah kepada orang kafir semasa perayaan mereka. Niatkanlah secara umum untuk memberikan hadiah. Sesungguhnya amalan itu berdasarkan niat.
  5. Dibolehkan untuk hadir ke majlis orang bukan Islam sekiranya ianya diadakan di luar rumah ibadat seperti di dewan orang ramai, padang, pejabat atau rumah, untuk tujuan yang berkait dengan adat seperti jamuan makan yang dihidangkan makanan yang halal.
    • Sekiranya majlis tersebut diadakan dalam rumah ibadat pada hari perayaan, maka makruh bagi orang Islam untuk menghadirkan diri.
    • Diriwayatkan bahawa Umar RA berkata:

Janganlah kalian menemui orang-orang musyrik di gereja-gereja (tempat ibadah) mereka pada hari raya mereka, karena kemurkaan (Allah) turun kepada mereka.

Riwayat al-Baihaqi

Sumber: Laman Mufti Wilayah Persekutuan – Hukum Mengucapkan “Merry Christmas” Kepada Mereka Yang Beragama Kristian

Leave a reply:

Your email address will not be published.

Site Footer